KPM cadang wajibkan kemasukan Tahun Satu usia enam tahun pada 2029

Iklan
Mohd Azam. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

SEPANG – Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2029 selepas memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak masing-masing bagi sesi persekolahan 2027 dan 2028.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, tempoh dua tahun itu akan dimanfaatkan bagi memastikan persediaan pelaksanaan dasar berkenaan dapat dilakukan secara berterusan sebelum ia diwajibkan.

Iklan
Iklan

“Sekarang ini tahun 2027 dan 2028 kita bagi pilihan, jadi tahun 2029 itu kita akan wajibkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Taklimat Kementerian Pendidikan (KPM) Bersama Media di sini.

Iklan

Mohd Azam berkata, persediaan pelaksanaan dasar itu perlu dilakukan bermula tahun ini hingga 2029 bagi memastikan perancangan yang dibuat tidak terhenti di pertengahan jalan.

Menurutnya, KPM sudah meneliti keperluan dari segi pembinaan bilik darjah, selain mempunyai beberapa pendekatan bagi menguruskan pertambahan murid termasuk penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), pelaksanaan dua sesi persekolahan dan penyuraian murid ke sekolah yang mempunyai kapasiti lebih rendah.

Iklan

“Kita tidak mahu inisiatif yang sudah dirancang baik untuk negara bangsa ini akhirnya berhenti.

“Jadi kita sudah melihat kekuatan dari segi perancangan dan pembinaan bilik darjah menggunakan IBS, yang mana ia boleh siap dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, kesediaan kurikulum dan latihan guru turut diberi perhatian bagi memastikan tenaga pengajar mampu mengendalikan pembelajaran kanak-kanak berusia enam tahun.

Katanya, KPM yakin persediaan dari aspek berkenaan dapat menyokong pelaksanaan dasar itu, selain mengambil kira perubahan cabaran pendidikan masa depan.

Mohd Azam berkata, antara faktor yang mendorong pelaksanaan inisiatif itu ialah perubahan demografi negara yang menuju ke arah masyarakat menua serta perkembangan teknologi yang membolehkan kanak-kanak memperoleh akses kepada pengetahuan dan maklumat pada usia lebih muda.

Tegas beliau, KPM mahu memastikan semua kanak-kanak mendapat peluang pembelajaran yang saksama tanpa wujud perbezaan akses berdasarkan kaedah tertentu seperti program lompat kelas yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Jadi kita buatkan satu program ini maknanya anak kita diberi satu peluang yang saksama dan akses yang sama untuk pembelajaran ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Azam berkata, KPM menerima kira-kira 73,000 hingga 74,000 permohonan setakat ini bagi kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2027.

Beliau berkata, jumlah itu masih boleh berubah berikutan terdapat ibu bapa yang mengemukakan rayuan supaya anak mereka turut diberi peluang mengikuti kemasukan berkenaan.

Katanya, KPM akan meneliti rayuan tersebut berdasarkan kesediaan bilik darjah dan kapasiti tempat di sekolah sebelum membuat pertimbangan.

Mengulas persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan permohonan pada 2028, beliau berkata, KPM sudah mempunyai perancangan awal berdasarkan trend permohonan semasa, termasuk keperluan bilik darjah, buku teks dan guru.

“Kalau berlaku lonjakan itu, insya-ALLAH kita akan pertimbangkan mengikut kesediaan bilik darjah dan Kementerian Pendidikan akan menyantuni segala keperluan,” katanya.