KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan undangan kepada Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing ke negara ini membantu Malaysia mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan sejak sekian lama.
Beliau berkata, usaha menyelesaikan isu berkenaan bukan perkara mudah, termasuk mengharapkan negara ketiga mengambil tanggungjawab atau membawa pulang pelarian terbabit ke negara asal.
Bagaimanapun, katanya, rundingan antara kedua-dua negara membuahkan hasil selaras dengan keputusan mahkamah antarabangsa yang menjamin prinsip Safe and Dignified Return (kepulangan secara selamat dan bermaruah).
“Itu istilah penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kita dapat jaminan. Setakat hari ini, 10,476 telah dibawa pulang atas kos Myanmar.
"Sebahagian besar menggunakan pesawat, termasuk 1,476 yang dibawa pulang menggunakan kapal perang Myanmar pada 29 September lalu.
"Menteri Luar sudah meluluskan tiga kapal angkatan laut untuk mengangkut pulang 1,500 rakyat Myanmar pada 6 dan 7 Disember. Bagi bulan Disember pula, 5,303 rakyat Myanmar akan dibawa pulang menggunakan pesawat atas tanggungan kerajaan negara itu," katanya .
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan prinsip, bantahan dan pendirian Malaysia berhubung isu berkenaan.
Malah, katanya, Malaysia terus berpegang kepada Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus) yang diterima pakai semua negara ASEAN.
“Saya telah maklumkan kepada semua pimpinan ASEAN termasuk yang bersidang baru-baru ini di Manila bahawa Malaysia masih kekal dengan Five-Point Consensus.
“Masih kekal dengan pendirian kita prihatin terhadap penganiayaan kelompok etnik bukan saja Rohingya, tetapi kumpulan etnik lain, kita mahu ada penyelesaian,” katanya.