SABAK BERNAM - Seorang anggota polis cedera di kepala ketika menahan seorang lelaki warga emas yang mengamuk di sebuah rumah di Sungai Panjang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.09 tengah hari itu, anggota Unit Peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti itu mengalami kecederaan di bahagian atas kepala sebelah kiri ketika melakukan tangkapan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian seorang lelaki mengamuk sebelum menggerakkan anggota kereta peronda polis (MPV) ke lokasi.
"Bagaimanapun, seorang anggota MPV terbabit mengalami kecederaan ketika insiden berkenaan.
"Anggota itu yang berusia lingkungan 30-an telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Md Yusof memberitahu, suspek berusia 69 tahun itu kemudian ditahan sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan serta penilaian perubatan.
"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau berkaitan dadah.
"Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan," tambah beliau.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.