SEPANG - Kementerian Pendidikan (KPM) mencadangkan peruntukan besar bagi menaik taraf sistem pembesar suara (PA) di sekolah bagi mengelakkan isu gangguan audio ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berulang.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, cadangan itu sudah dikemukakan sebelum ini dan akan dibawa semula kepada Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, penambahbaikan kemudahan itu penting bagi memastikan calon dapat mendengar dan memahami audio dengan jelas khususnya ketika menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Saya sudah mencadangkan satu peruntukan yang besar untuk membantu sekolah kita bagi memantapkan prasarana sistem PA ini.
“Sebenarnya saya dulu (merupakan) Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP), tetapi sebelum (sempat) laksanakan perkara tersebut, saya ditukarkan. Jadi saya angkat semula (cadangan itu) kepada pengarah baru supaya peruntukan (dapat disalurkan) kepada sekolah.
“Sebenarnya, saya dahulu merupakan Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP), tetapi sebelum sempat melaksanakan perkara tersebut, saya ditukarkan. Jadi, saya akan mengangkat semula cadangan itu kepada pengarah baharu supaya peruntukan dapat disalurkan kepada sekolah.
“(Cadangan peruntukan) memang sudah ada. Saya tidak berani menyatakan jumlahnya di sini, tetapi ia melibatkan jumlah yang amat besar untuk diberikan kepada sekolah bagi memantapkan sistem PA supaya isu seperti ini tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat KPM Bersama Media di sini pada Isnin.
Terdahulu, LP memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan berhubung dakwaan berlaku gangguan audio ketika Ujian Mendengar Bahasa Melayu SPM.
Ia susulan aduan menerusi platform media sosial Threads yang mendakwa audio ujian berkenaan tersekat-sekat sehingga menjejaskan kelancaran calon menjawab peperiksaan.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, gangguan aud tular itu tidak berlaku secara menyeluruh, sebaliknya membabitkan kes terpencil yang tetap memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya.
Katanya, pihak pengurusan peperiksaan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala keperluan peperiksaan dipenuhi.
Menurutnya, pengetua selaku pengurus peperiksaan di sekolah serta pengurus peperiksaan di peringkat negeri perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi termasuk menilai kesesuaian kemudahan yang digunakan.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, masalah yang dilaporkan tidak semestinya berpunca daripada kerosakan sistem audio semata-mata, sebaliknya mungkin turut berkait dengan keupayaan calon memahami sebutan dan bunyi perkataan diperdengarkan.
Jelas beliau, isu berkaitan keupayaan calon memahami sebutan pernah dibangkitkan dalam peperiksaan terdahulu khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Beliau berkata, LP sudah mengemukakan laporan berhubung perkara itu kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan sebarang tindakan susulan akan dimaklumkan berdasarkan hasil penilaian.