ECRL pendekkan perjalanan Kuantan-Gombak kepada 90 minit

Iklan
Shamsul Azri

KUANTAN - Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran sepanjang 258 kilometer di Pahang kini hampir siap dengan kemajuan mencecah 99.17 peratus setakat Oktober lalu.

Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu mengatasi kemajuan keseluruhan pembinaan jajaran Fasa 1 dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor yang berada pada kadar 99.03 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor itu kini memasuki fasa akhir persediaan sebelum perkhidmatan komersial disasarkan bermula pada 12 Disember depan.

"Bagi rakyat Pahang khususnya, kehadiran ECRL bakal menjadi pemangkin ekonomi yang merancakkan aktiviti perdagangan, pelaburan, pelancongan serta lebih penting, membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Iklan

"Tren penumpang ECRL akan memendekkan masa perjalanan dan dapat menghubungkan Kuantan dengan Gombak dalam tempoh satu jam 30 minit sahaja berbanding kira-kira tiga jam menerusi jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Stesen ECRL KotaSAS di sini pada Selasa.

Iklan

Majlis itu disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Mengulas lanjut, Shamsul Azri memberitahu, jajaran ECRL di Pahang merangkumi tujuh stesen dengan dua daripadanya iaitu KotaSAS dan Cherating dikhususkan bagi perkhidmatan penumpang.

"Lima lagi iaitu Kuantan Port City (KPC), Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong berfungsi sebagai stesen gabungan penumpang dan kargo," jelas beliau.

Katanya, jumlah itu menjadikan Pahang sebagai negeri yang mempunyai bilangan stesen terbanyak dalam keseluruhan rangkaian ECRL.

"Stesen ECRL KotaSAS yang tersergam indah di atas kawasan seluas 15.57 hektar ini dibangunkan sebagai stesen utama di negeri Pahang.

"Istimewanya, reka bentuk stesen penumpang ini bermotifkan Gading Gajah Bersilang pada Jata Negeri Pahang, menterjemahkan simbolik keagungan adat istiadat serta sejarah gajah sebagai kenderaan istiadat diraja," tambah beliau.