KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Daerah Kuantan, termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kajian selama dua tahun bermula November 2026 hingga November 2028 itu bertujuan menyediakan pelan perancangan perparitan yang komprehensif di kawasan pesat membangun di negeri tersebut.
Menurutnya, kajian berkenaan akan menyediakan pelan induk saliran yang menyeluruh dan bersepadu, termasuk pembangunan data inventori saliran bagi mengenal pasti rangkaian serta laluan saliran, kapasiti sistem, status pemilikan tanah dan agensi yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraannya.
"Perkara ini penting khususnya bagi mengenal pasti laluan saliran yang melalui tanah persendirian sehingga menimbulkan kekangan terhadap pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan.
"Hasil kajian PISMA kelak akan menjadi panduan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta jabatan teknikal berkaitan dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan serta penambahbaikan sistem saliran secara lebih teratur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung langkah kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan risiko limpahan air dan banjir kilat di kawasan pesat membangun yang dikemukakan oleh Datuk Andansura Rabu (Pas-Beserah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Isnin.
Wan Rosdy berkata, data inventori yang dibangunkan juga akan membantu memperjelas status pemilikan dan tanggungjawab penyelenggaraan setiap laluan saliran, sekali gus memudahkan kerja penyelenggaraan, pelebaran dan penaiktarafan sistem saliran.
"Hasil kajian ini akan menjadi asas kepada kerajaan negeri untuk meneliti keperluan pewartaan atau penyediaan rizab bagi laluan saliran strategik, khususnya yang melibatkan tanah persendirian," katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan sistem saliran di seluruh Kuantan, termasuk DUN Beserah, dapat diurus dan diselenggara dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan risiko limpahan air serta kejadian banjir kilat.