KUANTAN - Sebanyak 350 tukun tiruan pelbagai jenis seperti tetrapod, kiub dan kuboid berjaya dilabuhkan di perairan negeri ini sejak 2007 hingga tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, selain sebagai tempat perlindungan dan pembiakan kepada pelbagai spesies ikan, tukun tiruan juga berfungsi sebagai penghalang kepada aktiviti pukat tunda.
Menurutnya, tahun lalu, Jabatan Perikanan Negeri Pahang berjaya melabuhkan tukun tiruan di tiga kawasan iaitu di Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang di Rompin serta Pulau Berhala, Pekan dengan kos RM800,000.
"Kos pembinaan dan melabuh tukun berkenaan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT).
"Manakala untuk tahun ini, kerajaan Persekutuan telah memperuntukan RM700,000 untuk membina dan melabuhkan tukun tiruan jenis juvenil penghalang pukat tunda di Pulau Seri Buat sebagai tukun konservasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung program melabuh tukun tiruan di perairan negeri ini dikemukakan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN- Tioman) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.
Mohd Soffi berkata, peruntukan EFT RM300,000 diterima bagi pembinaan tukun tiruan rekreasi jenis kuboid juvenil penghalang pukat tunda yang dilabuhkan di perairan Pantai Kempadang, di sini 19 Oktober lalu.
Sementara itu katanya, kos keseluruhan bagi membina dan melabuhkan 20 tukun tiruan jenis juvenil penghalang pukat tunda di Pulau Seri Buat sebanyqk RM665,849.
"Kos untuk lapan tukun tiruan yang di labuhkan di perairan Kempadang RM280,980.
"Kos yang dinyatakan termasuk kos membina di tapak bina serta kos sewaan baj dan kren untuk mengangkut unit tukun tiruan ke tapak melabuh," ujarnya.
Jelas beliau lagi, tukun tiruan konservasi jenis juvenil penghalang pukat tunda juga akan dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Labas dan Pulau Sepoi, Rompin melalui peruntukan RM700,000 dari Persekutuan.
Katanya, Jabatan Perikanan Negeri Pahang juga bercadang untuk melabuhkan tukun tiruan di pesisir pantai perairan Pekan dan Rompin bagi manfaat nelayan Zon A dengan menggunakan peruntukan EFT yang disalurkan kepada kerajaan negeri.