GST lebih telus, elek ketirisan

Iklan
Nor Hariri

KOTA BHARU - Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih telus, menyeluruh dan berakauntabiliti berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), terutama dari segi kecekapan kutipan hasil negara serta kemampuan membendung ketirisan.

Bekas juruaudit merangkap Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata, perbandingan kedua-dua sistem percukaian itu perlu dinilai berdasarkan keupayaan sebenar menjana hasil negara, ketelusan transaksi dan keberkesanan pemantauan, bukannya tertumpu kepada kadar cukai semata-mata.

Iklan
Iklan

"Angka kutipan yang didedahkan Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 10 Julai 2024 menunjukkan GST mengutip RM184.8 bilion dalam tempoh tiga tahun, dari April 2015 hingga Mei 2018," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, mengkritik janji Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk memperkenalkan semula GST sekiranya gabungan itu kembali berkuasa.

Iklan

Walaupun GST sering dianggap sebagai sistem kutipan hasil negara yang lebih cekap berbanding SST, Pua membangkitkan isu kelemahan pengurusan pembayaran balik GST yang berlaku ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Najib Abdul Razak, yang merupakan pendahulu Zahid.

Menurut beliau, SST hanya merekodkan kutipan RM150.4 bilion sepanjang lima tahun pelaksanaannya, dari September 2018 hingga Disember 2023.

Iklan

Ujarnya, perbezaan itu amat signifikan kerana GST berjaya mencatatkan kutipan lebih tinggi walaupun tempoh pelaksanaannya jauh lebih pendek berbanding SST.

"Fakta daripada Kementerian Kewangan sendiri menyebut purata kutipan tahunan SST adalah 51.6 peratus lebih rendah berbanding GST.

"Data dan fakta tidak menipu. Persoalannya, adakah SST mampu menyediakan rekod transaksi lebih menyeluruh, pemantauan lebih sistematik dan kutipan hasil negara yang lebih baik berbanding GST?" katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hariri memberitahu, GST mempunyai mekanisme tuntutan cukai input dan rekod transaksi di sepanjang rantaian bekalan yang membolehkan pihak berkuasa melakukan semakan silang dengan lebih sistematik.

Tambahnya, mekanisme itu mampu mengecilkan ruang untuk urus niaga tidak dilaporkan, sekali gus membantu mengawal ketirisan hasil negara.

"Sebaliknya, SST mempunyai skop percukaian lebih terhad dengan mekanisme kutipan berbeza mengikut kategori cukai jualan dan cukai perkhidmatan, sekali gus mewujudkan cabaran pemantauan serta penguatkuasaan," katanya.

Menurut Nor Hariri , hasil cukai yang lebih baik berpotensi disalurkan kepada pembangunan pendidikan, kesihatan, pembangunan negara dan pembinaan modal insan tanpa menambah hutang negara.

Ujar beliau, GST bukan sekadar soal berapa banyak cukai yang boleh dikutip kerajaan, tetapi bagaimana Malaysia membina sistem percukaian lebih efisien, mempunyai asas cukai lebih luas serta mekanisme perlindungan rakyat yang lebih baik.

"Suara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai GST perlu dilihat sebagai usaha mengutamakan kepentingan rakyat dan ketelusan pengurusan kewangan negara," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan perlu bersikap realistik dalam menilai keberkesanan sistem percukaian berdasarkan fakta dan angka, bukannya mempertahankan sesuatu mekanisme tanpa penelitian sewajarnya.

"Janganlah menjadi seperti tikus membaiki labu, semakin banyak kerosakannya," katanya.