UMPSA Advanced Sdn. Bhd. terus memperkukuh peranannya sebagai penyedia penyelesaian teknologi digital menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Mu’izz bagi pelaksanaan inisiatif pendigitalan The EAST Paya Besar.
Kerjasama strategik ini menyaksikan UMPSA Advanced bertindak sebagai rakan teknologi dalam pembangunan platform digital The EAST yang kini beroperasi bagi memudahkan pengurusan tempahan fasiliti, penyewaan peralatan serta aktiviti dan program menerusi satu sistem bersepadu.
The EAST pula merupakan inisiatif pembangunan yang mendapat dukungan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah dalam usaha menyediakan kemudahan dan ruang pelaksanaan aktiviti yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti setempat serta masyarakat umum.
Platform ini turut dilengkapi kemudahan pembayaran digital bagi memudahkan urusan tempahan dan transaksi pengguna.
Pendekatan ini membolehkan proses pengurusan tempahan dan penyewaan dilaksanakan dengan lebih tersusun, sekali gus menyokong kecekapan operasi serta penyelarasan penggunaan kemudahan The EAST.
Selain memudahkan akses kepada kemudahan yang disediakan, pembangunan platform ini turut mencerminkan potensi penggunaan teknologi digital dalam memperkukuh pengurusan fasiliti dan perkhidmatan berasaskan komuniti.
Pelaksanaan platform digital The EAST turut memperlihatkan usaha UMPSA Advanced memperluas aplikasi kepakaran teknologinya melangkaui sektor pendidikan, khususnya dalam bidang pengurusan fasiliti, penyewaan aset dan penyelarasan aktiviti melalui platform digital bersepadu.