Pembangunan sepanjang Sungai Perak dikawal, lindungi sumber air mentah

Iklan
Saarani ketika menjawab soalan ketika Sidang DUN Perak pada Selasa.

IPOH - Pembangunan di sepanjang Sungai Perak tertakluk kepada kawalan berskala terhad bagi memastikan kelestarian alam semula jadi serta melindungi sumber air mentah utama negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketetapan itu digariskan menerusi Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) Perak 2040 dengan mengambil kira kekangan fizikal kawasan berkenaan serta kepentingannya sebagai kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan ekonomi biru yang dirancang kerajaan negeri tidak menjejaskan fungsi Sungai Perak sebagai sumber air dan ekosistem semula jadi.

"Pengurusan lembangan sungai dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menerusi pemantauan kualiti air secara berterusan.

Iklan

"Kerajaan juga memperkukuh tadbir urus Lembaga Pengurusan Sumber Air (LPSA) bersama-sama JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi mengawal pelesenan dan aktiviti sungai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Iklan

Saarani berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak mengabaikan potensi pembangunan ekonomi biru di sepanjang lembangan Sungai Perak, termasuk di kawasan Kuala Kangsar dan Manong.

Katanya, menerusi DRSN Perak 2040, jajaran Kuala Kangsar-Karai-Sauk telah diangkat sebagai koridor pelancongan prima yang memberi tumpuan kepada pelancongan kampung tradisi, agropelancongan dan laluan rekreasi pinggiran sungai.

"Perancangan itu turut merangkumi pembangunan produk pelancongan berasaskan warisan kebudayaan serta gastronomi tempatan, khususnya makanan berasaskan ikan sungai," katanya.

Beliau mengakui pembangunan ekonomi biru di sepanjang Sungai Perak yang mempunyai jajaran kira-kira 400 kilometer itu berdepan beberapa cabaran, termasuk alur sungai cetek akibat pemendapan pasir serta kekurangan infrastruktur jeti.

Katanya, status sungai berkenaan sebagai kawasan sensitif alam sekitar dan sumber air mentah utama negeri turut menuntut kawalan ketat bagi mengelakkan pencemaran, aktiviti pengorekan pasir serta persaingan permintaan air daripada sektor perindustrian.

Jelas beliau, kerajaan negeri melaksanakan langkah mitigasi jangka pendek dan panjang berasaskan prinsip Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dengan kerjasama agensi teknikal.

"Bagi tindakan jangka pendek, usaha merangkumi pemantauan hidraulik, pengorekan mendapan pasir dan pembersihan alur sungai secara berfasa.

"Perancangan jangka panjang melibatkan pelaksanaan pelan tebatan banjir, termasuk di Sungai Piol, Manong, yang mencadangkan pelebaran jambatan dan alur sungai serta pembinaan kolam takungan banjir," katanya.