KOTA BHARU - Laluan laut Kelantan yang sebelum ini menjadi antara laluan pilihan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dikawal apabila tiada kemasukan direkodkan sepanjang 15 hari pelaksanaan operasi rintis fasa kedua dari 7 hingga 21 November lalu.
Keberkesanan operasi bersepadu itu menyaksikan pasukan keselamatan berjaya menghalang pergerakan bot dipercayai digunakan untuk membawa masuk migran melalui perairan Kuala Tumpat dan Kuala Besar sebelum memasuki Sungai Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejayaan itu hasil penyelarasan operasi membabitkan pihaknya, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi berkaitan.
Menurutnya, operasi itu lebih tertumpu kepada aspek pencegahan dengan menyekat pergerakan migran di perairan sempadan sebelum mereka berjaya memasuki negara.
"Alhamdulillah, sepanjang 7 hingga 21 November lalu, tiada kemasukan melalui laluan Sungai Kelantan direkodkan.
"Kita bukan mahu menunggu mereka masuk kemudian ditangkap, sebaliknya mahu mencegah supaya tidak berjaya memasuki negara," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Ujarnya, operasi itu akan diteruskan secara berfasa susulan keberkesanan pendekatan sekatan di laluan laut berkenaan.
Mohd Yusoff berkata, strategi itu turut mengambil kira tindakan sindiket yang dipercayai mengubah laluan kemasukan susulan kawalan keselamatan dipertingkatkan di kawasan sempadan darat dan sungai.
Tambah beliau, sepanjang tempoh operasi itu, dua kes tangkapan turut direkodkan di kawasan lain membabitkan laluan Sungai Golok.
Beliau berkata, kawalan di sepanjang Sungai Golok tetap diteruskan oleh PGA dan ATM meskipun tumpuan operasi rintis kali ini diberikan kepada laluan laut.
Mengulas perkembangan penguatkuasaan di Kelantan, Mohd Yusoff berkata, sebanyak 4,953 migran ditangkap membabitkan 2,887 kes sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.
"Jumlah itu meningkat kira-kira 40 peratus berbanding 3,535 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu," ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff memberitahu, sebanyak 964 kes penyeludupan dan kontraban direkodkan dengan nilai rampasan RM88.2 juta bagi tempoh sama.
"Daripada jumlah itu, PDRM Kelantan merekodkan 161 kes bernilai RM7.8 juta, PGA sebanyak 704 kes bernilai RM76.76 juta manakala Pasukan Polis Marin mencatatkan 99 kes dengan nilai rampasan RM3.5 juta," katanya.