TUMPAT - Baru enam bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki kembali terjebak dalam kegiatan jenayah apabila dipercayai menjadi transporter atau ejen pengangkut bagi membawa pendatang tanpa izin (PATI).
Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 34 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan kira-kira 5 pagi tadi selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Pak Keral menghala ke Jalan Tali Air, Kampung Neting, di sini.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata lelaki itu yang menyedari kehadiran anggota Task Force Batalion 7 PGA yang menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan telah bertindak memecut kenderaannya sebelum terbabas di bahu jalan di hadapan sebuah sekolah.
"Suspek cuba melarikan diri selepas diarahkan keluar dari kenderaan, namun berjaya ditahan anggota PGA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki, empat wanita dan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Ahmad Radzi berkata, hasil siasatan awal, lelaki itu mengaku terbabit dalam kegiatan membawa pendatang asing secara sambilan sejak bulan ini dan penghantaran itu adalah kali pertama dilakukannya.
"Suspek mendakwa diarahkan seorang lelaki tempatan yang tidak dikenalinya untuk mengambil dan menghantar migran berkenaan, dengan bayaran RM450 bagi setiap perjalanan selepas urusan penghantaran selesai menggunakan kereta yang disewa,” katanya.
Beliau berkata, kesemua pendatang asing berusia antara sembilan bulan hingga 31 tahun itu dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting, Tumpat, menggunakan khidmat ejen dari Myanmar yang mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM10,000.
Mereka sepatutnya dihantar ke Stesen Bas Melor, Pasir Mas sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Dalam operasi itu, PGA merampas Perodua Myvi itu yang dianggar bernilai RM25,000 selain lapan telefon bimbit bernilai RM8,000 dan wang tunai RM100, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM33,100.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut. - Bernama