KOTA BHARU – Pelawak Amir Raja Lawak menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi memerlukan bantuan oksigen namun masih berdepan kesukaran berjalan akibat sesak nafas.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, berkata, dia masih belum mampu berjalan atau bercakap dalam tempoh lama kerana mudah semput meskipun sekadar melakukan pergerakan ringan.
“Alhamdulillah, dah tak pakai oksigen. Cuma tak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi.
“Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada 11 November lalu, Amir dimasukkan ke ICU Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini akibat jangkitan kuman pada paru-paru sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas lebih 10 hari menerima rawatan di unit berkenaan.
Menurutnya, kesan pada bahagian dahi dan hidung pula berpunca daripada penggunaan alat dari mesin bantuan pernafasan ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Amir berkata, dia dimaklumkan kesan berkenaan boleh dibersihkan menggunakan pelembap kulit bagi membantu kembali seperti biasa.
Dalam pada itu, pelawak berkenaan berseloroh dia sudah boleh kembali bergurau dan membahan di media sosial namun belum mampu membalas semua komen pengikut seperti sebelum ini.
“Baiklah, dengan ini kita sekarang dah boleh start bergurau atau bahan-membahan balik kat media sosial, cuma komen-komen saya tak dapat reply semua macam dahulu.
“Yuolmismirait? Tunggu!” katanya.
Sebelum ini, Amir turut berkongsi pengalaman selepas lebih dua minggu terlantar di katil sehingga mengalami kesukaran untuk kembali berdiri dan berjalan.
Menurutnya, dia menyangka lutut akan terasa lemah atau kebas ketika mula berdiri, sebaliknya mengalami rasa mencucuk pada tapak kaki seperti terkena jarum.
Amir turut menjalani sesi fisioterapi sepanjang proses pemulihan, termasuk latihan menggunakan alat senaman pernafasan bagi membantu mengembalikan keupayaan paru-parunya.