Air naik mendadak, tukang masak cemas selamatkan anak istimewa

Iklan
Rokiah bersama Helmi Al Faqih ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus pada Isnin.

​KUALA NERUS – Seorang ibu melalui detik mencemaskan apabila terpaksa membawa anak istimewanya menyelamatkan diri selepas paras air meningkat mendadak di kediaman mereka di Taman Uda Murni, Tok Jembal di sini.

​Mangsa, Rokiah Salae, 37, berkata, hujan lebat sejak petang Isnin menyebabkan air mula memasuki rumahnya dengan pantas sehingga memaksa dirinya sekeluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal.

Iklan
Iklan

​Bagaimanapun katanya, barangan penting sudah dikemas sebelum kejadian sebagai persediaan awal cuaca hujan berterusan.

​"Paras air meningkat dengan cepat sampai masuk ke dalam rumah. Saya memang sudah bersiap-siap mengemas barang sejak malam tadi sebab bimbang banjir.

Iklan

​"Lebih merisaukan sebab saya ada anak istimewa, Helmi Al Faqih Helmi Saifudin, 5, yang menghidap sindrom Goldenhar dan perlu diberi perhatian khusus masa proses pemindahan," katanya ketika ditemui di PPS tersebut pada Isnin.

​Rokiah yang bekerja sebagai tukang masak dan menyewa di kawasan itu sejak empat tahun lalu berkata, situasi sama sudah dialami berulang kali sehingga terpaksa berpindah setiap kali banjir melanda.

Iklan

​Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zabedah Umar, 72, yang menetap di kawasan berkenaan sejak 1975 berkata, air mula memasuki rumahnya sekitar jam 5 petang.

​Menurutnya, kawasan perumahan Taman Uda Murni Permai itu sering dilanda banjir malah berlaku dua kali pada tahun lalu, namun kejadian kali ini berlaku agak pantas selepas hujan lebat.

​"Kalau hujan lebat, paras air meningkat dengan cepat kerana longkang di kawasan ini rendah dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak.

​"Kadang-kadang hujan sekejap sahaja tetapi air sudah masuk ke dalam rumah. Kami memang bimbang apabila cuaca tidak menentu begini," katanya.

​Warga emas itu berkata, anggota bomba membawanya keluar selepas paras air meningkat sebelum ditempatkan di PPS sama.

​Dalam pada itu, data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 123 mangsa daripada 36 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal.