AMPANG – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan notis kepada pemilik sebuah bangunan di Pandan Indah di sini, susulan kesalahan menggunakan ruang pejabat sebagai asrama pekerja warga asing tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.
Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, sepasukan penguat kuasa MPAJ telah pergi ke lokasi berkenaan kira-kira jam 4 petang, Jumaat, susulan aduan yang diterima.
Iklan
Iklan
"Notis berkenaan mengikut Seksyen 70(12), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) selepas pihak berkuasa mendapati premis berkenaan digunakan bagi tujuan lain daripada kegunaan asal yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ruang pejabat di tingkat 14 bangunan yang dipercayai disalahgunakan apabila dijadikan tempat tinggal kira-kira 10 pekerja warga asing yang bekerja mengikut syif.
Tinjauan wartawan mendapati beberapa helai pakaian disidai di hadapan pintu premis yang dipercayai dijadikan asrama, manakala tandas awam di luar unit pejabat itu turut digunakan untuk aktiviti mandi dan membasuh pakaian.
Norhayati berkata, pemilik premis turut diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh notis untuk menghentikan aktiviti berkenaan.
"Kegagalan mematuhi arahan itu boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil, termasuk denda tidak melebihi RM1,000 serta denda tambahan sehingga RM100 bagi tiap-tiap kesalahan itu diteruskan," katanya.