TANGKAK - Tiga sekeluarga termasuk kanak-kanak berusia dua tahun maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dipercayai terbabas di Kilometer 159.6, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim berkata, laporan berhubung kejadian melibatkan MPV jenis Nissan Serena diterima pada jam 1.15 petang
"Kenderaan yang dinaiki kemudian hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan lalu mengakibatkan tiga penumpang maut.
"Mereka yang meninggal dunia ialah seorang wanita berusia 49 tahun yang berada di tempat duduk hadapan serta dua kanak-kanak lelaki berusia 14 dan dua tahun yang duduk di bahagian belakang kenderaan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kenderaan berkenaan bersama-sama dua lagi penumpang lain mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
"Kesemua mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-9825324.