Mayat warga emas hilang ditemukan tersangkut berhampiran loji air

Iklan
Anggota bomba menggunakan bot untuk membawa naik mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis. Foto: JBPM Pahang

KUANTAN- Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh di Sungai Telemong, Karak, Sabtu lalu ditemukan lemas pada Isnin.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat S Appanah,74, ditemui orang awam kira-kira jam 3.55 petang dalam keadaan tersangkut berhampiran sebuah loji air.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anggota bomba digerakkan untuk membantu mengambil mayat yang tersangkut menggunakan bot aluminium.

"Mayat mangsa berjaya dibawa naik kira-kira jam 6.24 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya

Iklan

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas itu digerakkan Isnin selepas satu laporan polis dibuat anaknya pada Ahad.

Mangsa dipercayai terjatuh ke sungai terbabit berdasarkan penemuan pakaian dan seliparnya di tepi sungai.

Iklan

Anak mangsa mendakwa lelaki itu keluar kira-kira jam 3 petang pada Sabtu namun gagal pulang ke rumah pada hari berkenaan.

Operasi SAR bermula jam 7.30 pagi Isnin digerakkan dengan kekuatan lapan anggota BBP Karak.

Operasi turut dibantu tujuh anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin, 18 anggota dan pegawai polis dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).