TUMPAT - Lebih lapan dekad berlalu, Wan Mamat Wan Isa, 96, masih mengingati kenangan belajar dalam bilik darjah berdinding kayu, termasuk papan nama kelas yang ditulis menggunakan tulisan Jawi.
Bekas murid antara yang terawal di sekolah yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan itu turut mendapat penghormatan sebagai tetamu utama sempena sambutan ulang tahun ke-100 sekolah berkenaan baru-baru ini.
Wan Mamat yang mula bersekolah sekitar tahun 1940 berkata, perjalanan sejauh dua kilometer dari Kampung Kutan ke Pasir Pekan setiap hari menjadi antara kenangan yang masih segar dalam ingatannya.
“Dulu sekolah berjalan kaki dari Kampung Kutan ke Pasir Pekan, dalam dua kilometer setiap hari.
“Masa tu sudah ada meja dan kerusi, bilik darjah pula daripada kayu dan papan nama kelas ditulis dalam tulisan Jawi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.
Dua tahun kemudian, beliau ditawarkan menjadi guru di Sekolah Rakyat Kampung Kutan, kini SK Kutan sebelum mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Kota Bharu.
“Tamat pengajian di Maktab Perguruan, saya ditempatkan di sebuah sekolah di pedalaman Pahang iaitu di SK Kuala Medang dan selepas lima tahun berkhidmat, saya kembali semula ke SK Kutan sehingga bersara wajib pada 1990,” katanya.
Sepanjang 1971 hingga 1976, beliau mendidik anak-anak di kawasan pedalaman SK Kuala Medang, Lipis, Pahang sebelum kembali berkhidmat di Kelantan.
Perjalanan selama kira-kira empat dekad sebagai pendidik itu berakhir apabila beliau bersara wajib pada tahun 1990.
Kini, pada usia 96 tahun, Wan Mamat masih mampu berjalan sendiri dan mempunyai penglihatan yang baik walaupun pendengarannya sedikit terjejas.
Malah, beliau masih mampu berkomunikasi dengan baik serta mengimbau kenangan zaman persekolahan dan pengalaman sebagai guru.
“Alhamdulillah, saya masih lagi diberi kesihatan yang baik untuk menjalani kehidupan, semua rakan seusia sudah meninggal dunia.
“Hanya baca al-Quran dan solat Dhuha setiap hari, itu sahaja yang saya buat,” katanya.
Wan Mamat mempunyai tujuh anak hasil perkahwinannya dengan Zaharah Che Ismail, 78, selain dikurniakan 20 cucu serta cicit.