Pegawai AKPS ditahan terlibat bawa masuk warga asing tanpa izin

Iklan
Mohd Shuhaily berucap pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa AKPS di Zoo Negara di sini pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan itu, susulan seorang pegawai wanita AKPS menyedari tindakan pegawai atasannya yang didakwa melakukan sesuatu di luar prosedur ditetapkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, AKPS akan memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membongkar rangkaian lebih besar, membabitkan penyeludupan migran.

"Saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.

Iklan

"Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan kegiatan seperti ini,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa, di Zoo Negara, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kes itu tidak boleh dipandang ringan, kerana kegiatan sedemikian berpotensi melibatkan counter setting, namun enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kes berkenaan kerana siasatan masih berjalan.

Iklan

Dalam pada itu, beliau turut memuji keberanian pegawai wanita berkenaan dan menyifatkan tindakan itu, sebagai titik permulaan kepada perubahan yang ingin dibawa dalam AKPS.

"Saya akan bertemu pegawai berkenaan dalam masa terdekat, untuk menyampaikan penghargaan atas keberanian dan integriti yang ditunjukkan.

"Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang berlaku di lapangan. Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakangnya,” katanya.

Pada 17 November, seorang penjawat awam berusia 40-an ditahan, selepas disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing berusia 38 tahun tanpa dokumen perjalanan sah di KLIA Terminal 2.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). - Bernama