KUALA KRAI – Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan yang ditemukan selamat selepas hilang sejak petang Ahad menangis kegembiraan dan syukur selain berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan anaknya.
Mohammad Khairul Najmi Mohd Rosli, 26, tidak mampu menyembunyikan rasa lega itu selepas Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi ditemukan di kawasan ladang getah berbukit di Kampung Bechah Salak di sini pada jam 10.20 pagi.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori bergegas pulang dari Bandar Jengka, Pahang selepas menerima berita kehilangan anaknya itu dan tiba di kampung sekitar 12 tengah malam sebelum meneruskan pencarian dan tidak sempat tidur.
“Sejak semalam saya cari anak, tak dapat tidur. Alhamdulillah penoreh getah jumpa anak saya dalam keadaan selamat.
“Lega sangat, dengan doa semua oranglah anak kami ditemukan.
"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari, pasukan keselamatan dan orang ramai. Terima kasih, Ya ALLAH,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya pada Isnin.
Khairul Najmi berkata, dia tidak menyangka pencarian yang dilakukan sejak malam itu berakhir dengan berita paling melegakan apabila anaknya itu ditemui hidup.
Dia berkata, anaknya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kecederaan atau masalah kesihatan selepas berada di kawasan hutan dan ladang getah.
“Setakat ini nampak semuanya okey, dah makan dan minum sikit. Ada sedikit darah akibat digigit pacat pada kaki dan kesan gigitan nyamuk di belakang badan.
“Cuma kami nak bawa dia ke hospital, bimbang ada benda yang dia makan ketika berada di dalam semak atau apa-apa yang lain,” katanya.
Keluarga itu menetap di Bandar Jengka, Pahang dan isterinya, Nur Fatihah Che Mohd Zaki, 24, baru sahaja tiba di kampung itu bersama Muhammad Irsyad Hakim dan seorang lagi anak perempuan sulung mereka untuk bercuti selama seminggu.
Sementara itu, Nur Fatihah berkata, sebelum kejadian itu, dia tiba di kampung halaman pada jam 1 tengah hari selepas memandu dari jam 4 pagi dan keletihan.
Dia seterusnya memandikan Muhammad Irsyad Hakim sebelum kanak-kanak itu bermain di halaman rumah sambil ditemani ibu saudara yang berusia 16 tahun.
“Lepas tu saya tidur dan apabila bangun cari anak tak ada. Ibu saudaranya pula terlelap.
“Hanya ada puting kosong sahaja di luar rumah dan cari dia sekitar kawasan memang tak ada,” katanya.
Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur anak bongsu daripada dua beradik itu ditemukan masih bernyawa.
“Dia belum petah bercakap, hanya pandai panggil papa, mama saja dan tak biasa dengan kawasan ini, dia takut dan menangis kalau keluar jauh.
“Entah macam mana kali ini jauh dia berjalan, tapi mujurlah dijumpa semula,” ujarnya.