KUANTAN – Pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan Pahang 2027 yang menggariskan enam teras utama mendapat reaksi positif daripada masyarakat kerana dilihat mampu memenuhi keperluan pelbagai golongan.
Rata-rata mereka yang ditemui Sinar Harian berpandangan belanjawan bertemakan 'Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan' yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Jumaat mencerminkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap rakyat.
Peniaga, Badrul Jamili Kamaruddin, 51, berkata, belanjawan berkenaan menunjukkan perhatian kerajaan negeri terhadap masyarakat menerusi pelbagai peruntukan yang disediakan.
"Alhamdulillah apabila melihat pembentangan belanjawan oleh Tok Wan (Wan Rosdy), saya dapati ia menyeluruh, daripada lahir sampailah akhir hayat, semuanya dapat menerima manfaat.
"Terima kasih banyak-banyak kepada Tok Wan dan kerajaan negeri. Saya berharap Tok Wan terus memimpin Pahang dan negeri ini terus maju," katanya ketika ditemui di Jalan Gambang di sini pada Sabtu.
Mengulas manfaat kepada golongan peniaga, Badrul memberitahu, penyediaan geran dan lesen percuma kepada penjaja turut memberi peluang kepada peniaga kecil mengembangkan perniagaan.
"Untuk peniaga, saya lihat banyak geran yang dibentangkan dan satu perkembangan baik untuk peniaga kecil seperti kami," katanya.
Sementara itu, suri rumah, Nor Adnin Zulkifli, 36, berkata, bantuan pendidikan yang diumumkan kerajaan negeri dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Saya berasa sangat bersyukur dan gembira apabila mendengar pengumuman ini kerana bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
“Saya berharap bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi menjamin masa depan mereka. Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini,” katanya.
Bagi pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih, Adam Arif Muhammad Rusdi, 17, inisiatif pendidikan yang diumumkan memberi galakan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Menurutnya, bantuan dan program persediaan yang disediakan kerajaan negeri dapat membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan, selain meningkatkan motivasi untuk memperoleh keputusan lebih baik.
“Bagi saya, ini satu inisiatif yang sangat baik kerana ramai pelajar SPM mendapat impaknya, antaranya bantuan untuk persediaan SPM.
"Macam sekolah saya sendiri, hari Jumaat lepas dapat kit dan bantuan daripada pihak Pahang, selain banyak program untuk menyemarakkan semangat pelajar SPM,” katanya.
Adam Arif berkata, penyertaannya dalam program persediaan peperiksaan termasuk PTTI anjuran kerajaan negeri turut membantu melengkapkan persediaan akademiknya.
“Bagi saya, sokongan berkenaan amat bermakna, khususnya kepada pelajar yang kekurangan dana untuk menyediakan keperluan pendidikan,” katanya.
Pesara swasta, Zulkifli A Bakar, 60, pula berkata, peruntukan bagi program perumahan rakyat dan bantuan sewa rumah dapat membantu golongan yang belum mempunyai kediaman sendiri.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Kebajikan dan Khairat Kematian Masjid Al-Muttaqin di Tanah Putih Baru berkata, pembinaan 350 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2 membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.
“Peruntukan ini merupakan satu langkah yang baik dan amat dialu-alukan sebab rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi asas kepada kestabilan keluarga, keselamatan dan kualiti kehidupan rakyat.
"Saya berharap projek berkenaan dibina di lokasi bersesuaian, dengan pemilihan penerima yang adil dan telus serta dilengkapi kemudahan asas dan penyelenggaraan yang baik," katanya.
Bagi penjawat awam, Madianatul Arafah Ahmad Rosdi, 46, pula, pemberian Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji menjadi suntikan motivasi kepada seluruh penjawat awam negeri.
Menurutnya, bantuan itu bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan, malah mendorong penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Terima kasih Tok Wan. Pemberian bonus kepada penjawat awam sudah tentu ditunggu-tunggu dan paling penting memberikan motivasi kepada penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang lagi kepada rakyat," katanya.
Madianatul turut berpandangan peruntukan bagi memperkukuh tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan penting memandangkan penjawat awam berperanan sebagai pelaksana dasar kerajaan.
Katanya, penekanan terhadap kesejahteraan rakyat, pembangunan ekonomi dan pemerkasaan modal insan perlu disusuli pelaksanaan yang cekap.
"Saya berharap setiap peruntukan dapat diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur, pelaksanaan yang cekap dan manfaat yang sampai kepada kumpulan sasar," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (Pahang), Muhammad Faiz Hashim berkata, insentif Bantuan Gig Negeri Pahang berjumlah RM1.1 juta menerusi belanjawan berkenaan memperlihatkan perhatian kerajaan negeri terhadap kebajikan pekerja ekonomi gig
Menurutnya, bantuan secara sekali bayar sebanyak RM300 kepada pekerja gig yang memenuhi syarat, termasuk berdaftar dan mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dapat membantu meringankan beban golongan berkenaan.
"Pengumuman ini membuktikan kerajaan negeri mendengar keluh kesah pekerja gig dan mengambil kira keperluan golongan ini dalam penyediaan belanjawan.
"Kami berharap bantuan ini dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung pekerja gig demi kelangsungan hidup," ujarnya.