KUANTAN – Agensi pelaksana perlu memastikan bantuan, geran dan insentif yang diumumkan menerusi Belanjawan Pahang 2027 sampai kepada golongan sasar tanpa kerenah birokrasi yang melampau serta ketirisan.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, keberkesanan belanjawan bukan diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Menurutnya, PSAP menghargai tumpuan kerajaan negeri terhadap sektor pendidikan, pembangunan anak muda, kesihatan, perumahan rakyat serta pelbagai inisiatif bantuan bagi meringankan beban kos sara hiduprakyat dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.
"Kami berharap setiap agensi pelaksana dapat memastikan bantuan, geran dan insentif yang diumumkan sampai kepada golongan sasar tanpa kerenah birokrasi yang melampau serta tanpa ketirisan.
"Kejayaan sebenar sesebuah belanjawan bukan diukur melalui jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Belanjawan Pahang 2027 yang dibentangkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Jumaat menyasarkan kutipan hasil RM1.507 bilion dengan perbelanjaan mengurus RM1.502 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan RM5 juta.
Sebanyak RM454.4 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, manakala Bantuan Prihatin Pahang yang sebelum ini dilaksanakan menerusi Inisiatif Makmur (IM Pahang) dengan peruntukan keseluruhan RM245.61 juta sepanjang tempoh lima tahun dijenamakan semula sebagai Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBNP) mulai tahun hadapan.
Haslihelmy berkata, PSAP menyambut baik pembentangan Belanjawan Pahang 2027 bertemakan"Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan" yang memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan pendidikan, ekonomi, infrastruktur, kebajikan rakyat dan pembangunan modal insan.
Jelasnya, secara keseluruhannya, belanjawan yang dibentangkan ini dilihat komprehensif dengan pelbagai inisiatif yang menyentuh hampir semua lapisan masyarakat.
"Kalau kita lihat ia termasuk pelajar, mahasiswa, penjawat awam, petani, nelayan, wanita, belia, Orang Asli, usahawan dan golongan memerlukan," katanya.
Dalam pada itu, Haslihelmy menggesa supaya mekanisme pemantauan dan penilaian dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan setiap projek pembangunan dan program kebajikan mencapai objektif ditetapkan.
“Rakyat perlu diberi akses kepada maklumat mengenai status pelaksanaan supaya tahap akauntabiliti dan ketelusan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau menambah, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, pekerja gig serta masyarakat luar bandar supaya mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negeri.
Ujarnya, PSAP akan terus memainkan peranan sebagai rakan masyarakat yang konstruktif dengan menyalurkan maklum balas berkaitan keberkesanan pelaksanaan dasar serta membantu menyebarkan maklumat mengenai peluang dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
"Kami percaya Belanjawan Pahang 2027 mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuhkan kedudukan ekonomi negeri.
"Namun, kejayaan akhirnya bergantung kepada komitmen semua pihak untuk melaksanakan setiap perancangan dengan penuh amanah, integriti dan rasa tanggungjawab.
"Rakyat tidak hanya mahu mendengar janji dan melihat angka. Rakyat mahu melihat hasil, merasai manfaat dan menikmati perubahan dalam kehidupan seharian mereka," katanya.