KOTA TINGGI – Seorang janda muda yang datang untuk menemani seorang remaja lelaki yang didakwa demam ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah sewa di Pengerang.
Menurut JAINJ, pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 10.35 malam baru-baru ini dilakukan susulan aduan awam sebelum mendapati pasangan berkenaan bukan suami isteri.
Hasil pemeriksaan mendapati masing-masing berusia 25 dan 18 tahun.
"Ketika pemeriksaan dijalankan, lelaki terbabit hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, manakala wanita berkenaan memakai seluar panjang serta kemeja-T.
"Apabila ditanya mengenai hubungan mereka, kedua-duanya mengaku bukan pasangan suami isteri," menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, wanita terbabit memberi alasan dia datang ke rumah berkenaan untuk menemani lelaki tersebut yang dikatakan sedang demam.
Lelaki berkenaan turut menunjukkan sijil cuti sakit (MC) yang dikeluarkan oleh sebuah klinik bagi membuktikan dia tidak bekerja pada hari kejadian.
Malah, ubat yang diberikan selepas mendapatkan rawatan turut ditunjukkan kepada penguat kuasa ketika pemeriksaan dilakukan.
Bagaimanapun, JAINJ menjelaskan alasan tersebut tidak boleh dijadikan justifikasi untuk pasangan bukan mahram berada berdua-duaan di dalam rumah tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
"Walaupun benar lelaki itu demam, keadaan tersebut bukan alasan untuk mereka berada berdua-duaan di dalam rumah.
"Wanita terbabit bukan doktor atau jururawat yang hadir untuk merawat pesakit, manakala lelaki itu pula bukan individu uzur yang tidak berdaya untuk menguruskan dirinya, sebaliknya hanya mengalami demam biasa," menurut kenyataan sama.
Pemeriksaan lanjut mendapati rumah sewa berkenaan mempunyai dua bilik dan salah sebuah bilik dilengkapi katil yang berada dalam keadaan tidak terurus.
Menurut JAINJ, rumah tersebut disewa oleh lelaki berkenaan, manakala wanita terbabit dipercayai datang berkunjung ke situ.
Pasangan itu turut mengakui telah berkenalan dan menjalinkan hubungan selama lebih setahun serta mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, mereka masih belum menetapkan tarikh pernikahan.
"Berdasarkan maklumat pengadu, wanita terbabit dipercayai telah beberapa kali datang ke rumah tersebut sebelum ini," menurut kenyataan itu.
Kedua-duanya kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.