TEKA-teki mengenai dua nama calon Wakil Presiden (Wapres) atau Naib Presiden Indonesia bagi menggantikan Gibran Rakabuming Raka terus menjadi perhatian terutamanya selepas bekas Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Mahfud MD membangkitkan persoalan mengenai proses pemilihan pengganti jawatan tersebut.
Sehingga kini, identiti dua calon yang bakal dikemukakan Presiden Prabowo Subianto kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) masih dirahsiakan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai tokoh berpotensi mengisi kerusi nombor dua negara itu.
Antara nama yang mula diperkatakan termasuk beberapa pemimpin politik dan tokoh berpengaruh, namun keputusan akhir masih terletak pada Prabowo. Mahfud MD memberi peringatan mengenai kemungkinan proses pemilihan Wapres baharu berdepan masalah dari sudut perundangan.
Menerusi kenyataannya pada Jumaat, Mahfud berpandangan sidang bagi memilih pengganti Gibran pada 9 Disember depan berisiko tidak sah sekiranya MPR belum menerima dua nama calon daripada Presiden mengikut tempoh 14 hari ditetapkan.
Prabowo dijadualkan mengemukakan dua nama calon Wapres kepada MPR selewat-lewatnya pada Rabu ini. Antara nama yang mula mendapat perhatian termasuk Ketua Umum Partai Demokrat, Agus Harimurti Yudhoyono (AHY), Ketua Dewan Pewakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani, bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan Gabenor Jakarta, Pramono Anung.
Selain itu, nama bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, Timbalan Ketua DPR Sufmi Dasco Ahmad, Menteri Tenaga dan Sumber Daya Mineral, Bahlil Lahadalia serta Setiausaha Agung Gerindra, Sugiono turut berada dalam senarai. Malah, Ketua MPR Ahmad Muzani, Ketua Umum PKB Muhaimin Iskandar dan Ketua Umum PAN Zulkifli Hasan juga disebut sebagai antara individu yang berpotensi dipertimbangkan.
Bagaimanapun, senarai berkenaan hanyalah nama-nama yang muncul dalam perbincangan politik.
Siapakah yang bakal mendapat kepercayaan Prabowo? Persoalan itu masih belum terjawab, tatkala perhatian rakyat kini tertumpu kepada keputusan yang bukan sahaja bakal menentukan barisan kepimpinan negara malah turut mencerminkan hala tuju politik Indonesia yang dihimpit pelbagai kontroversi.