Kematian pelajar di SBP, apa sebenarnya berlaku?

Iklan
Kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah SBP pastinya mengundang kesedihan dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

KEMATIAN seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, Perak pada Rabu lalu, pastinya mengundang kesedihan dan kebimbangan, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah dengan harapan mereka mendapat pendidikan dalam persekitaran selamat.

Lebih menyentuh hati apabila mengenangkan mesej terakhir mangsa kepada bapanya.

Iklan
Iklan

Pertanyaan ringkas seorang anak yang sekadar mengambil berat sama ada bapanya sudah makan atau belum kini menjadi kenangan paling pilu buat sebuah keluarga.

Namun, di sebalik kesedihan itu, satu persoalan besar masih menuntut jawapan. Apakah sebenarnya berlaku sehingga meragut nyawa seorang pelajar yang masih mempunyai masa depan panjang?

Iklan

Persoalan itu bukan sahaja bermain di fikiran keluarga mangsa, malah seluruh masyarakat yang mahu mengetahui kebenaran.

Dalam keadaan pelbagai spekulasi mula timbul, semua pihak perlu menahan diri daripada membuat kesimpulan awal. Berilah ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus.

Iklan

Setiap kemungkinan perlu diteliti berdasarkan bukti dan fakta, bukannya andaian. Sebarang unsur kecuaian atau salah laku, sekiranya terbukti perlu ditangani mengikut saluran sewajarnya.

Sebarang dakwaan berkaitan punca kematian termasuk kemungkinan unsur buli atau kecuaian tidak wajar dijadikan asas untuk menuding jari kepada mana-mana pihak selagi siasatan polis belum dimuktamadkan.

Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merehatkan sementara beberapa pentadbir dan guru, menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada polis serta menggerakkan Jemaah Nazir memang kena pada masanya.

Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan siasatan menyeluruh, telus dan segera juga membawa mesej yang jelas bahawa kes berkenaan perlu dirungkai sampai ke akar umbi.

Pada masa sama, insiden itu perlu menjadi peringatan bahawa kebajikan dan kesejahteraan emosi pelajar tidak boleh dipandang ringan. Apa juga hasil siasatan kelak, perkara paling penting ialah kebenaran perlu diketahui agar segala persoalan yang timbul dapat dirungkai.