SEOUL - Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin meletakkan jawatan pada Ahad susulan skandal penipuan peperiksaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang tercetus menjelang peperiksaan kemasukan universiti utama negara itu pada minggu lalu.
Pejabat Presiden Lee Jae Myung mengesahkan beliau telah menerima peletakan jawatan tersebut.
Kontroversi itu mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan penipuan menggunakan AI apabila calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan mengaku menggunakan kamera mini dan telefon pintar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.
Pengakuan tersebut dibuat kira-kira empat hari sebelum peperiksaan kemasukan universiti yang dikenali sebagai Suneung berlangsung.
Peperiksaan tahunan selama sembilan jam itu dianggap sebagai penentu masa depan golongan muda di Seoul kerana menjadi laluan untuk memasuki universiti berprestij, memperoleh pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan peluang mendapatkan pasangan hidup.
Susulan pendedahan itu, pihak berkuasa segera memperkenalkan pelbagai langkah pencegahan termasuk menyekat akses Wi-Fi awam di kawasan peperiksaan dan menampal pelekat pada butang pakaian calon bagi mengelakkan sebarang peranti elektronik dibawa masuk ke dewan.
Bagaimanapun, Kyo-jin, 72, berdepan kesukaran untuk meredakan kebimbangan orang ramai meskipun sudah mengakui kelemahan persediaan pihak berkuasa dan sedia bertanggungjawab atas perkara itu.
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan sebanyak 111 kes salah laku membabitkan penggunaan peranti elektronik dikesan sepanjang peperiksaan tersebut.
Hampir separuh daripada kes berkenaan dikenal pasti menerusi tiga amaran kecemasan yang dikeluarkan kerajaan bagi mengesan telefon pintar yang masih dibawa calon dan gagal diserahkan sebelum peperiksaan bermula. - AFP