BOGOTA – Kerajaan Colombia memulakan langkah mengawal populasi badak air liar dengan merancang pelaksanaan eutanasia terhadap 10 haiwan berkenaan yang merupakan keturunan haiwan peliharaan bekas ketua kartel dadah, Pablo Escobar.
Langkah itu diambil susulan pembiakan tidak terkawal spesies berkenaan yang kini dianggap sebagai spesies asing invasif, selain menimbulkan ancaman terhadap keselamatan penduduk dan ekosistem tempatan.
Pengarah Korporasi Autonomi Wilayah Lembangan Sungai Negro dan Nare (Cornare), Javier Valencia berkata, fasa pertama pelan tindakan itu melibatkan 10 ekor badak air yang dikenal pasti berisiko kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, pelaksanaan fasa berkenaan merangkumi pendidikan alam sekitar, pemindahan haiwan serta eutanasia dalam tempoh kira-kira lima bulan.
Antara haiwan yang dikenal pasti ialah seekor badak air di kawasan Puerto Nare, wilayah Antioquia, yang dikatakan mengancam keselamatan kanak-kanak sebuah sekolah berhampiran sungai.
Valencia berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap spesies invasif yang tidak dapat dikawal atau dikurung melalui kaedah lain.
Masalah itu bermula pada 1980-an apabila Escobar membawa masuk empat ekor badak air dari Afrika untuk ditempatkan di zoo peribadinya di Hacienda Napoles.
Haiwan berkenaan terdiri daripada tiga jantan dan seekor betina sebelum membiak tanpa kawalan selepas kematian Escobar pada 1993.
Populasinya kini dianggarkan sekitar 250 ekor dan tersebar di kawasan lembangan Sungai Magdalena, sekali gus menjadikan Colombia mempunyai populasi badak air liar terbesar di luar habitat asalnya di Afrika.
Pada 2022, kerajaan Colombia secara rasmi mengisytiharkan haiwan berkenaan sebagai spesies asing invasif.
Pihak berkuasa bimbang pembiakan berterusan boleh meningkatkan populasi sehingga 1,000 ekor menjelang 2035 sekiranya tiada langkah kawalan berkesan dilaksanakan.-Agensi