JAKARTA – Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan masih hidup di dalam guni beras di kawasan belukar berhampiran sebuah rumah kosong di Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia, lapor saluran berita Lambe Turah.
Bayi itu ditemukan seorang mahasiswa berusia 19 tahun yang dikenali sebagai TKN di Kompleks BTN Residen Taipa, Palu Utara, kira-kira pukul 10.45 pagi waktu tempatan.
Penemuan tersebut membawa kepada tindakan segera menyelamatkan bayi berkenaan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika ditemukan, bayi itu dilaporkan mengalami keadaan yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Ketua Polis Sektor Tawaeli, Iptu Afif Ali mengesahkan penemuan bayi perempuan berkenaan yang masih mempunyai tali pusat di kawasan semak berhampiran sebuah rumah tidak berpenghuni.
“Benar, telah ditemukan seorang bayi perempuan dalam keadaan masih hidup berserta tali pusatnya di kawasan semak di tepi sebuah rumah yang tidak berpenghuni,” katanya dalam kenyataan.
Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Besar Daerah (RSUD) Madani Palu untuk menerima rawatan kecemasan.
Ketua Unit Rawatan Rapi Neonatal Madani Palu, Ni Made Puni Rastiti berkata, bayi berkenaan tiba di Jabatan Kecemasan dengan mengalami kesukaran bernafas.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa tompok kemerahan pada wajah, perut, dada dan kaki bayi itu, yang dipercayai berpunca daripada gigitan atau kehadiran semut pada tubuhnya.
Pasukan perubatan turut mengesan kemungkinan jangkitan kuman, menyebabkan bayi tersebut diberikan rawatan antibiotik selain bantuan oksigen melalui tiub hidung bagi membantu pernafasannya. – Agensi