Isu solat Jumaat: Fawwaz persoal pendirian DAP terhadap Islam

Iklan
Muhammad Fawwaz dan laporan Sinar Harian mengenai isu solat Jumaat.

GEORGE TOWN - Pendirian sebenar DAP terhadap Islam dipersoalkan susulan tindakan seorang Ahli Parlimen parti itu yang membangkitkan isu penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, tindakan mempersoalkan dasar berkenaan menimbulkan persoalan sejauh mana DAP benar-benar memahami dan menghormati kedudukan Islam di negara ini.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pas Pusat berkata, DAP selama ini sering menyatakan komitmen untuk menghormati Islam serta menjaga kepentingan masyarakat Islam.

Bagaimanapun, katanya, apabila timbul dasar yang bertujuan memberikan ruang kepada umat Islam menunaikan kewajipan agama, perkara itu pula dipertikaikan.

Iklan

“Rakyat berhak bertanya, apakah penghormatan terhadap Islam itu benar-benar diterjemahkan dalam tindakan ataupun sekadar ungkapan yang sedap didengar ketika berpolitik?” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menerusi hantaran di Facebook membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat yang didakwa boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.

Iklan

Beliau menganggap arahan berkenaan mencerminkan pengaruh dasar keagamaan konservatif Parti Islam terhadap pentadbiran awam.

Bagaimanapun, Poay Tiong berkata, pihaknya menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun berpendapat dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengambil kira kepentingan semua pihak.

Dalam pada itu, kata Muhammad Fawwaz lagi, dasar penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat bukan perkara baharu kerana ia telah lama dilaksanakan di Terengganu dengan mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.

Malah, katanya, dasar berkenaan turut mengambil kira pengecualian tertentu kepada peniaga bukan Islam.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa pelaksanaan dasar yang telah sekian lama berjalan tersebut kini menjadi pertikaian.

Fawwaz berkata, Islam tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam mencari rezeki namun pada masa sama hak umat Islam untuk menunaikan kewajipan agama juga perlu dihormati.

“Tindakan mengkritik sesuatu dasar memang hak sesiapa sahaja, tetapi biarlah kritikan itu berasaskan fakta dan kefahaman yang tepat.

“Janganlah sampai dalam keghairahan mempertikaikan dasar kerajaan negeri, perkara asas berkaitan kepentingan umat Islam pula dipandang ringan,” katanya.

Tambah beliau, isu berkenaan sepatutnya membuka ruang kepada rakyat untuk menilai pendirian sebenar DAP terhadap dasar-dasar berkaitan Islam.

Katanya, sekiranya langkah memberikan ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat juga boleh mengundang pertikaian, timbul persoalan mengenai pendekatan yang akan diambil sekiranya DAP diberikan kuasa lebih besar dalam menentukan dasar pentadbiran negara.

"Persoalan itu bukan bermaksud menuduh DAP mahu menyekat Islam sebaliknya rakyat berhak mendapatkan jaminan jelas bahawa kepentingan agama Islam akan terus dihormati dalam setiap keputusan pentadbiran.

"Penghormatan terhadap Islam tidak seharusnya sekadar dizahirkan melalui ungkapan di pentas politik atau ketika memerlukan sokongan sebaliknya perlu dibuktikan menerusi pendirian dan tindakan apabila kepentingan umat Islam menjadi persoalan," ujarnya.