Abdul Hadi dakwa Erdogan pernah pujuk Pas berbaik dengan Anwar, PH

Iklan
Abdul Hadi ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Dungun pada Jumaat.

​DUNGUN - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pernah bertanyakan kepadanya mengenai kemungkinan parti itu berbaik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).

​Menurutnya, perkara itu dinyatakan sendiri oleh pemimpin Turkiye berkenaan ketika beliau menghadiri sebuah persidangan ulama di negara itu, susulan usaha pihak tertentu yang menggunakan pengaruh luar bagi memujuk Pas menyertai PH.

Iklan
Iklan

​"Saya jumpa Erdogan dalam persidangan ulama di Turkiye. Erdogan bisik kat saya, 'Boleh tak Pas ini berbaik dengan Anwar? Dengan PH?' Saya kata tak boleh.

​Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini pada Jumaat.

Iklan

​Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, penolakan terhadap pelawaan PH dibuat atas prinsip perbezaan dasar perjuangan dan bukannya soal habuan jawatan.

​Beliau mendakwa, PH sebelum ini berusaha keras memujuk Pas dengan pelbagai tawaran lumayan termasuk jawatan dalam Kabinet serta menteri, namun kesemuanya ditolak mentah-mentah.

Iklan

​"Memang Pas ini sekarang ini orang pujuk, tapi kita nak kepada UMNO. Orang-orang PH pujuk nak duduk kita dengan dia. Macam-macam tawaran duduk dalam Kabinet, jadi menteri dan sebagainya.

​"Kita tolak. Kenapa? Kerana kerjasama yang berkait dengan dasar. Selisih masalah dasar wala', ini bercanggah dengan Islam," tegasnya.

​Tambah beliau, usaha memujuk itu bukan sahaja melibatkan perantara dalam negara, malah turut menggunakan pemimpin luar negara termasuk Erdogan yang turut mempunyai hubungan baik dengan pimpinan PH.

​"Sampai dalam negeri habis usaha, dia minta orang berjumpa dengan saya dalam negeri ini, pujuk, minta berjumpa, nak berunding. Sampai orang luar negeri, minta orang luar negeri termasuk Erdogan. Dia kenal Erdogan, saya kenal juga Erdogan," ujarnya.

​Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menzahirkan rasa syukur apabila barisan kepimpinan Pas tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran yang disifatkannya sebagai cubaan mengaburi mata mereka.

​Sebaliknya, beliau menegaskan Pas memilih untuk memperkukuh muafakat bersama UMNO serta rakan gabungan bukan Islam yang tidak ekstrem demi kestabilan politik negara.

​"Alhamdulillah, pemimpin-pemimpin kita tak boleh dipujuk. Terpaksalah buat muafakat, kita bergabung muafakat, bergabung dengan UMNO, bergabung dengan bukan Islam yang tidak ekstrem, yang tidak melampau. Ini langkah kita ambil," katanya.