DUNGUN - Isteri kepada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris, iaitu Datin Nor Aizam Abu Bakar diumumkan menyertai Pas pada Jumaat.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Program, Sheikh Mohd Hanafi Abdul Aziz sempena Pelancaran Jentera Pilihan raya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini.
Penyertaan Nor Aizam turut diikuti tiga lagi pemimpin sayap Srikandi Bersatu negeri itu, termasuk Ketua Srikandi Muda Negeri Terengganu, Nor Dalila Zainal Abidin.
Dua lagi individu yang mengambil langkah sama ialah Norayu Jusoh, serta Wan Nirani Wan Hassan.
Difahamkan, penyertaan keempat-empat pimpinan dan ahli sayap parti itu dibuat secara sukarela untuk bersama-sama perjuangan Pas.
"Srikandi-Srikandi ini telah mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan kita," kata Sheikh Mohd Hanafi.