GANDINGAN Mohd Azri Mohd Hasli dan Wan Mohd Lutfi Hakim Wan Sulieman tampil dengan aksi bertenaga apabila menewaskan pasangan Izmawati Sodding dan Adilla Hayati Mohd Satali 15-3 pada perlawanan akhir, sekali gus dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Jom Smash 2.0 yang berlangsung di Gelanggang Badminton Bangunan Budisiswa Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pada Jumaat.
Kemenangan bergaya itu membolehkan pasangan Azri-Lutfi membawa pulang piala kejuaraan, hamper dan RM50, manakala pasangan Izma-Adilla terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dengan menerima hamper serta wang tunai RM40.
Saingan bagi menentukan tempat ketiga pula tidak kurang sengit apabila pasangan Nor Hanizah Mohd Nazeri dan Isma Saleha Muda mencatat kemenangan tipis 16-14, sekali gus mengetepikan cabaran pasangan Rolpaizal Ghazali dan Kamarul Ehsan Hussin yang menamatkan kejohanan di kedudukan keempat.
Pasangan di tempat ketiga menerima hamper dan wang tunai RM30, manakala pasangan di tempat keempat membawa pulang hamper serta wang tunai RM20. Hadiah saguhati turut disediakan kepada peserta lain sebagai penghargaan atas semangat kesukanan yang ditunjukkan.
Kejohanan anjuran Pejabat Komunikasi Strategik dengan kerjasama Kelab Kebajikan Pejabat Komunikasi Strategik UiTM itu menyaksikan penyertaan lapan regu membabitkan 16 pemain, terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita.
Penganjuran edisi kedua ini lebih meriah berbanding edisi sulung yang hanya mempertandingkan empat regu, selain mendapat sokongan kira-kira 15 ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran kejohanan.
Sementara itu, Presiden Kelab Kebajikan Pejabat Komunikasi Strategik UiTM, Muhammad Irsyad Mohd Ramzan berkata, Jom Smash 2.0 bukan sekadar pentas mencari juara, sebaliknya menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga pejabat.
“Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memastikan setiap staf mengamalkan gaya hidup sihat, di samping memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga pejabat.
“Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan hakiki, kami tetap mencari ruang untuk berkumpul dan bersukan bersama-sama. Program seperti ini memberi peluang kepada staf untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai dan mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja,” katanya ketika ditemu bual.
Muhammad Irsyad berkata, peningkatan jumlah penyertaan pada edisi kali ini menjadi dorongan kepada pihak penganjur untuk memperluas penganjuran kejohanan pada masa hadapan.
“Kami sudah mengadakan perbincangan untuk memperkenalkan lebih banyak acara sukan yang boleh disertai oleh semua ahli kelab, bukan hanya tertumpu kepada badminton.
“Malah, kami turut merancang kerjasama dengan pusat tanggungjawab (PTJ) dan jabatan lain supaya penganjuran akan datang lebih menyeluruh serta berpotensi dikembangkan ke peringkat universiti,” katanya.