JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meneruskan penguasaan dalam saingan Piala FA apabila membelasah DPMM FC 6-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sekali gus mengesahkan kemaraan ke final buat kali kelima berturut-turut dengan agregat 8-1.
Skuad Harimau Selatan yang juga penyandang juara hanya memerlukan satu gol pada babak pertama menerusi tandukan Joao Figueiredo pada minit ke-27 untuk menambah kelebihan agregat.
Gol itu terhasil hasil hantaran Oscar Arribas yang menemui Figueiredo di kawasan berbahaya sebelum penyerang berkenaan menanduk bola melepasi penjaga gol DPMM FC, Haime Abdullah Nyaring.
DPMM FC kendalian Jamie McAllister cuba memberikan tentangan dengan meningkatkan tekanan bagi merapatkan jurang jaringan, namun usaha mereka gagal menghasilkan gol sepanjang separuh masa pertama.
JDT hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-38 menerusi tandukan Jairo da Silva hasil sepakan sudut Yago Cesar, tetapi percubaan itu hanya menggegarkan tiang gol ketika Haime sudah tertewas.
Bagaimanapun, DPMM FC kembali menghidupkan peluang apabila Jordan Murray menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-49.
Gol itu bermula dengan tindakan Miguel Oliveira merampas bola daripada Kevin Medina sebelum melorongkan hantaran kepada Dalberto Belo yang kemudian menyediakan peluang buat Murray melepaskan rembatan leret menewaskan Christian Abad.
JDT tidak mengambil masa lama untuk kembali menguasai permainan apabila Manuel Hidalgo menyempurnakan bola muntah hasil percubaan Jairo pada minit ke-59 untuk meletakkan tuan rumah di depan 2-1.
Rentak serangan Harimau Selatan semakin sukar dibendung apabila Arribas menambah gol ketiga empat minit kemudian selepas menyambar bola yang gagal dikawal kemas Haime susulan rembatan Nacho Mendez.
Jairo turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-66 menerusi tandukan tepat hasil hantaran Mendez dari luar kotak penalti, sekali gus menjadikan kedudukan 4-1.
Ketika perlawanan berbaki tiga minit, JDT memperoleh sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Nurikhwan Othman.
Pemain gantian, Daniesh Amirrudin yang mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan itu untuk gol kelima tuan rumah.
Kemenangan besar JDT dilengkapkan Marcos Guilherme pada penghujung perlawanan apabila pemain gantian itu menanduk masuk bola sepakan sudut Ager Aketxe untuk keputusan 6-1, sekali gus memastikan Harimau Selatan mara ke final dengan agregat 8-1.