Benarkah syaitan lari masuk tandas ketika azan?

Iklan
SYAITAN melarikan diri apabila terdengar azan dilaungkan namun tiada hadis menyatakan ia masuk ke dalam tandas pada waktu tersebut.

Soalan

Benarkah syaitan akan lari masuk ke dalam tandas ketika azan? Bolehkah kita berada di dalam tandas ketika azan?

Iklan
Iklan

Jawapan

Benar terdapat hadis yang menyebut syaitan akan lari apabila terdengar laungan azan, namun tidak benar jika kita mendakwa syaitan akan lari masuk ke dalam tandas ketika azan berkumandang kerana tiada dalil khusus yang menyatakan demikian.

Iklan

Berkaitan dengan syaitan lari apabila mendengar azan, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila diseru untuk menunaikan solat (azan), syaitan akan berpaling dan lari sambil terkentut sehingga dia tidak lagi mendengar laungan azan." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan bahawa syaitan akan melarikan diri apabila mendengar azan kerana tidak mahu mendengar seruan tersebut.

Iklan

Namun tidak dinyatakan dalam mana-mana hadis bahawa syaitan akan berkumpul atau melarikan diri ke dalam tandas walaupun hadis lain ada menyebut bahawa antara tempat yang didiami syaitan itu ialah tandas.

Bolehkah masuk tandas ketika azan berkumandang? Jawapannya harus untuk masuk atau berada di dalam tandas ketika azan berkumandang sekiranya mempunyai keperluan mendesak untuk membuang air atau membersihkan diri sebelum menunaikan solat.

Namun jika tidak mempunyai keperluan mendesak, adalah lebih baik menyelesaikan urusan di tandas lebih awal supaya kita berpeluang menjawab azan dan memperoleh ganjarannya kerana menjawab azan merupakan amalan sunat yang sangat dituntut.