KEMAMAN – Penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah ini diselubungi rasa bimbang apabila kediaman mereka didakwa diganggu bunyi ketukan misteri yang kuat sejak Isnin lalu.
Kejadian yang berlaku antara jam 2.30 hingga 3 pagi itu mencetuskan tanda tanya selepas beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan bunyi ketukan berkenaan tular di media sosial.
Antara kawasan yang dilaporkan terbabit ialah Kampung Paya Berenjut, Taman Banggol Indah, Bandar Putra Mak Lagam, Geliga serta beberapa taman perumahan di Chendor, Pahang yang terletak berhampiran sempadan Terengganu–Pahang.
Menerusi rakaman CCTV yang tular itu, bunyi ketukan kuat jelas kedengaran di sekitar kawasan kediaman penduduk, namun tiada kelibat individu dan punca bunyi tersebut belum dapat dikenal pasti.
Seorang penduduk Kampung Geliga, Syahida Alia Mohamad, 30, berkata, dia terjaga kira-kira jam 3 pagi selepas terdengar bunyi ketukan kuat dari arah luar rumahnya.
"Pada awalnya, kami sangka ada orang ketuk pintu, tapi keesokan harinya ada juga jiran bertanya sama ada kami dengar bunyi yang sama," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Paya Berenjut, Nurlia Ripin, 45, berkata, gangguan bunyi ketukan misteri itu turut dikesan di rumahnya serta kediaman ibunya di Kampung Chendor, Pahang yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung berkenaan pada hari dan waktu yang sama.
Menurutnya, kejadian sekitar jam 2.30 pagi pada Isnin lalu itu menyebabkan ibu serta adiknya tidak dapat melelapkan mata akibat diganggu bunyi bising.
"Saya ingat hanya rumah ibu yang kena. Bila saya periksa rakaman CCTV rumah saya, rupa-rupanya kawasan rumah saya pun alami gangguan sama, tapi saya tak mendengar bunyi itu sebab pasang zikir sepanjang waktu tidur.
"Saya agak pelik sebab kejadian macam ni tak pernah berlaku di kampung ini. Sebelum ni, kami hanya baca di media sosial kejadian sama di negeri lain, tak sangka pula kami berdepan situasi sama dan ada mengatakan kejadian ni berkait rapat dengan ilmu hitam," ujarnya.