Terengganu rancang wujud santuari ala savana Afrika tangani konflik gajah-manusia

Iklan
Azman

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri merancang mewujudkan sebuah kawasan santuari hidupan liar berkonsepkan savana seperti di Afrika sebagai langkah jangka panjang menangani konflik antara manusia dengan gajah di negeri ini.

​Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kawasan itu akan membolehkan gajah dan hidupan liar lain hidup secara semula jadi dalam habitat khusus, sekali gus mengurangkan pertembungan dengan manusia.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, ketika ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan beberapa pendekatan bagi menangani konflik berkenaan, termasuk pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), kaedah tembak halau serta operasi tangkap dan pindah.

​"Antara langkah yang dilaksanakan ialah pemasangan SPEG. Di Terengganu, terdapat banyak kawasan yang telah dilengkapi sistem pagar elektrik gajah. Kedua, Perhilitan mengambil tindakan menerusi kaedah tembak halau, bukannya tembak untuk membunuh, tetapi bertujuan menghalau gajah berkenaan.

Iklan

​"Bagaimanapun, apabila gajah datang dalam jumlah yang besar, tindakan tersebut agak sukar dilaksanakan. Semalam, saya dimaklumkan oleh wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih bahawa di kawasan di sana terdapat satu kumpulan yang dianggarkan mencecah 80 ekor gajah.

"Ini bermakna gajah berkenaan datang dalam satu kumpulan yang besar dan keadaan ini sememangnya agak sukar untuk ditangani," katanya.

Iklan

​Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ghazali Sulaiman (Pas-Bukit Besi) mengenai langkah-langkah yang akan atau telah diambil bagi mengurangkan kerugian tanaman yang rosak akibat serangan hidupan liar pada Persidangan DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Khamis.

​Mengulas lanjut, Azman berkata, operasi tangkap dan pindah pula merupakan langkah terakhir sekiranya konflik gagal diselesaikan melalui pemasangan pagar elektrik dan kaedah tembak halau.

​Jelasnya, operasi berkenaan memerlukan kos yang tinggi iaitu antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi memindahkan seekor gajah, selain lazimnya lebih sesuai dilaksanakan terhadap gajah yang bergerak bersendirian.

​Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan data Perhilitan, populasi gajah di Terengganu dianggarkan sekitar 200 ekor, manakala 42 peratus keluasan negeri itu merupakan kawasan hutan yang menyediakan habitat semula jadi kepada haiwan berkenaan.

​Jelas beliau, konflik yang berlaku bukan semata-mata disebabkan kekurangan habitat, sebaliknya turut dipengaruhi faktor penarik (pulling factor) yang mendorong gajah keluar dari hutan untuk mendapatkan makanan.

​Katanya, pembangunan kebun di kawasan pinggir hutan menyediakan sumber makanan yang mudah diperoleh, sekali gus menarik perhatian gajah untuk keluar dari habitat asalnya.

​"Apabila kebun-kebun dibangunkan di kawasan pinggir hutan, kawasan itu menjadi sumber makanan yang mudah diperoleh oleh gajah kerana makanan tersedia di hadapan mata gajah berkenaan," katanya.

​Sementara itu, Azman berkata, keluasan kawasan tanaman yang mengalami kerosakan akibat konflik berkenaan menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga tahun, daripada 0.7 hektar pada 2024 dengan nilai kerugian RM20,800 kepada 1.1 hektar pada 2025 membabitkan kerugian RM32,000.

​"Pada 2026, keluasan tanaman yang rosak meningkat kepada 1.6 hektar dengan nilai kerugian melebihi RM49,000," katanya.

​Beliau berkata, semua kerugian yang dilaporkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dan Perhilitan Negeri Terengganu akan dibantu menerusi Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu serta bantuan disediakan Perhilitan.

​"Perhilitan turut menyediakan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman bagi membantu petani yang mengalami kerosakan hasil tanaman akibat konflik berkenaan.

​"Kedua-dua sumber bantuan ini boleh dimanfaatkan petani sebagai sokongan untuk mereka bangkit semula dan memulakan kembali aktiviti pertanian," katanya.