KUALA LUMPUR - Seramai 13 usahawan Bumiputera menerima pengiktirafan Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2026 atas kecemerlangan membangunkan perniagaan dalam pelbagai sektor industri termasuk yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Penerima anugerah dipilih daripada 39 finalis yang layak ke peringkat kebangsaan selepas melalui proses pemilihan membabitkan 134 pemenang peringkat negeri.
Anugerah berprestij itu diberikan sempena edisi ke-20 penganjuran AURA yang menjadi platform mengiktiraf kecemerlangan dan pencapaian usahawan Bumiputera dalam mengembangkan perniagaan serta menerajui pelbagai sektor industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, AURA yang dianjurkan setiap dua tahun bukan sekadar platform pengiktirafan, sebaliknya bertujuan menjadikan penerima anugerah sebagai ikon dan contoh kepada usahawan lain di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Menurutnya, kejayaan penerima anugerah diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan sehingga ke peringkat global.
"MARA memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM552 juta pada tahun lalu bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan masing-masing.
"Jumlah pembiayaan itu diharap dapat ditingkatkan sehingga kira-kira RM1 bilion bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai program 'Gate to Global' yang dianjurkan MARA.
"Program ini bertujuan meletakkan barangan dan perkhidmatan usahawan tempatan di pasaran antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas majlis AURA 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini pada Khamis.
Dalam edisi kali ini, AURA 2026 turut memperkenalkan dua kategori baharu, iaitu Anugerah Ikon Usahawan Eksport Global dan Anugerah Ikon Usahawan Teknologi Digital.
Selain itu, tiga penghargaan khas diperkenalkan iaitu 'The Most Sustainable Company', 'The Most Sustainable HGHV Company' dan 'The Most Promising Company'.
Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2, Abdul Aziz Arifin yang dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan MARA 2026 berkata, sokongan MARA sejak syarikat itu masih kecil pada 2018 hingga 2019 membantu perkembangan perniagaan sehingga ke tahap sekarang.
"Bantuan MARA bukan sahaja membantu syarikat mendapatkan pensijilan, malah sokongan daripada MARA Negeri Sembilan dan MARA pusat turut memainkan peranan dalam mengembangkan operasi perniagaan.
"Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian penting selepas melalui perjalanan panjang membangunkan syarikat daripada sebuah perniagaan kecil sehingga mampu menjadi rakan kerjasama MARA untuk membantu usahawan lain menembusi pasaran global.
"Faktor yang menyebabkan Bubbles O2 berjaya mendapat anugerah ini adalah kepercayaan dan dedikasi terhadap misi serta visi syarikat," katanya.
Mengulas perkembangan syarikat, Abdul Aziz berkata, pihaknya mempunyai tanggungjawab menjaga sumber air mineral beroksigen semula jadi di Rantau, Negeri Sembilan dan mahu berkongsi kebaikan produk itu dengan lebih ramai pengguna.
Jelasnya, kepercayaan terhadap penjenamaan produk menjadi antara kekuatan yang membawa syarikat sehingga ke tahap sekarang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suria & Sonnie, Aidilf Nordin yang memenangi anugerah The Most Sustainable High Growth High Value Company - Industry Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, kejayaan syarikat itu berkait rapat dengan kerjasama bersama MARA dan TNB menerusi pelaksanaan projek solar sejak 2015.
Beliau berkata, pengiktirafan itu turut menjadi penghargaan terhadap sokongan MARA sepanjang syarikat itu membangunkan perniagaan dalam industri terbabit.
"Pengiktirafan ini amat bermakna kerana segala usaha dan kerjasama yang dijalankan selama ini mendapat perhatian.
"Kami amat berterima kasih kepada MARA atas sokongan sepanjang terlibat dalam industri ini, khususnya menerusi projek solar bersama TNB," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Urusan Efferty International Sdn Bhd, Dr Raihana Ismail yang menerima Anugerah Inspirasi Wanita berkata, sokongan MARA sejak peringkat awal perniagaan menjadi antara faktor penting dalam perkembangan syarikat berkenaan.
Menurut Dr Raihana, syarikat itu bermula menerusi Klinik Raihana sebelum mengembangkan perniagaan dengan menghasilkan formula produk kesuburan Ferty bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk berkenaan untuk ikhtiar hamil.
Tambahnya, inovasi produk dan penggunaan teknologi menjadi antara pendekatan yang membantu Efferty International memperluas perkhidmatan kepada pengguna.
"Selain produk, kami turut membangunkan aplikasi bagi memudahkan pengguna membuat pembelian serta mendapatkan konsultasi percuma berkaitan produk Ferty.
"Kami sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini dan berusaha meningkatkan kemajuan syarikat dari tahun ke tahun dengan bimbingan MARA.
"Usaha mengembangkan pasaran turut membolehkan produk Ferty menembusi beberapa pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam program Gate to Global anjuran MARA," katanya.