Bekas penjaga kebas wang warga emas guna kad ATM mangsa

Iklan
Seorang bekas penjaga ditahan disyaki mengeluarkan wang berjumlah kira-kira 1.5 juta yen milik seorang warga emas tanpa kebenaran. Gambar hiasan/Reuters

TOKYO - Seorang bekas penjaga ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) seorang wanita warga emas berusia 80-an untuk mengeluarkan wang berjumlah kira-kira 1.5 juta yen (kira-kira RM39,000) tanpa kebenaran.

Suspek, Hideyasu Ishiwatari, 29, dipercayai melakukan perbuatan itu antara Julai hingga September tahun lalu ketika masih bertugas menjaga mangsa.

Iklan
Iklan

Menurut polis, suspek menggunakan kad ATM milik wanita berkenaan untuk membuat beberapa pengeluaran wang di mesin ATM.

Bagaimanapun, Ishiwatari mendakwa mangsa yang mempunyai masalah pergerakan memintanya mengeluarkan wang tunai selain memberikan nombor pengenalan peribadi (PIN) akaun bank.

Iklan

Kes berkenaan terbongkar selepas seorang ahli keluarga mangsa menyedari baki akaun wanita itu berkurangan dengan ketara sebelum menghubungi polis untuk membuat laporan.

Menurut laporan TV Asahi, suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan memberitahu polis wang berkenaan digunakan untuk menampung perbelanjaan hidup, bermain permainan kad serta berjudi.

Iklan

"Saya juga memerlukan wang untuk membayar hutang," katanya.

Sementara itu, polis mengesyaki suspek turut mengeluarkan wang hampir 7 juta yen (kira-kira RM181,000) daripada akaun mangsa tanpa kebenaran dalam tempoh antara Julai tahun lalu hingga November tahun ini.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar wang yang diselewengkan.