MEDAN - Video memaparkan sekumpulan tahanan kes dadah menikmati hidangan makanan laut bersama anggota polis di sebuah restoran di Medan, Sumatera Utara, Indonesia mencetuskan kontroversi selepas tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan kumpulan lelaki tersebut memakai baju-T jingga tertera ‘tahanan’ dan masih bergari ketika menikmati makanan di restoran awam bersama anggota polis yang mengiringi mereka.
Susulan itu, Polis Sumatera Utara mengesahkan individu dalam video berkenaan merupakan anggotanya dan memohon maaf kepada masyarakat atas tindakan yang disifatkan kurang wajar.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sumatera Utara, Kombes Pol Ferry Walintukan berkata, kejadian berlaku pada Isnin lalu selepas anggota Polis Daerah Asahan menghadiri sidang media berkaitan kes dadah di Medan.
Menurutnya, anggota tersebut singgah di restoran untuk makan tengah hari ketika dalam perjalanan pulang ke Asahan. Mereka turut mengajak tahanan menjamu selera bersama-sama atas dasar kemanusiaan.
Bagaimanapun, Ferry menegaskan tahanan kekal dalam kawalan polis malah tangan mereka masih bergari sepanjang berada di restoran itu.
“Anggota kami juga perlu makan, begitu juga tahanan yang tetap manusia biasa. Kami mengajak mereka makan bersama-sama, namun prosedur keselamatan tetap dipatuhi," jelasnya sambil mengakui tindakan membawa tahanan ke restoran awam kurang sesuai.
Sehubungan itu, Ferry mengesahkan mereka akan menjalankan pemeriksaan menerusi Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) bagi menentukan sama ada anggota berkenaan melanggar prosedur.
“Kami akan mengambil tindakan terhadap anggota sekiranya terbukti melakukan pelanggaran,” ujarnya lagi. - Agensi