KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu tampil membuat laporan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran di media sosial yang didakwa mempersendakan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini pada petang Khamis.
Pemangku Timbalan Ketua Pemuda Pas Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, hantaran tersebut didakwa mengandungi pendedahan beberapa halaman dokumen Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64 bertarikh 18 September 2026 yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, cara kenyataan itu diolah boleh memberi gambaran negatif kepada rakyat seolah-olah Seri Paduka Baginda bertindak membelakangkan nasihat Peguam Negara dan pendirian kerajaan, selain mencemarkan kemuliaan institusi diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
"Turut dipersoalkan dalam laporan berkenaan adalah penggunaan ungkapan 'our king kleptocrat' serta bagaimana individu yang bukan ahli atau pemegang jawatan dalam Lembaga Pengampunan boleh memperoleh dokumen rasmi berkenaan.
"Sehubungan itu, pihak polis digesa menyiasat kesahihan dakwaan sama ada dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan secara sah mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum diterbitkan," katanya.
Beliau berkata, siasatan dimohon dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) dibaca bersama Seksyen 3(1)(a) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, selain menyiasat mana-mana individu atau pegawai kerajaan yang mungkin terlibat membocorkan dokumen terbabit.
Jelas beliau, pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera dan telus terhadap kenyataan serta isu kebocoran minit mesyuarat berkenaan.
"Ini perkara besar kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan institusi yang paling dihormati dalam negara, perkara itu juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Irsyad menegaskan isu membabitkan Institusi Diraja dan kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang yang tidak boleh dimaafkan.
"Sebagai rakyat dan pihak yang berada dalam sistem pentadbiran negara, kita sepatutnya menghormati kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
"Seluruh rakyat Malaysia diminta supaya bersama-sama mempertahankan institusi raja yang menjadi sebahagian daripada asas kenegaraan sejak sebelum kemerdekaan," katanya.