KOTA BHARU – Bergenang air mata seorang doktor ketika menguruskan pendermaan tulang Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, selepas menyedari pengorbanan pemuda itu berpotensi memberikan kehidupan lebih baik kepada puluhan pesakit lain.
Dr Syahr Musafir berkata, emosinya tidak dapat dibendung ketika berada di dewan bedah pada Khamis apabila menghayati amanah besar untuk memastikan tulang yang didermakan arwah diambil, dijaga dan diuruskan dengan sebaik-baiknya sebelum digunakan bagi merawat pesakit lain.
"Arwah dermakan tulang. Amanah untuk kita ambil dengan baik. Amanah untuk kita kembalikan arwah dengan baik. Amanah untuk kita pastikan tulang-tulang ini dijaga dan akhirnya nanti boleh digunakan untuk merawat para pesakit lain dengan baik. Semua ini amanah," tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Perkongsian itu mendapat 2,800 tanda suka dan dikongsi sebanyak 372 kali oleh pengguna laman sosial berkenaan.
Dr Syahr berkata, dia berulang kali mengingatkan dirinya supaya melaksanakan tugas itu sebaik mungkin kerana sumbangan Allahyarham berpotensi membantu puluhan pesakit menikmati kehidupan lebih baik.
Ujarnya, meskipun berdepan keletihan dan tidak mengambil makanan sejak pagi, beliau tetap memperoleh kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
"Berada dalam dewan bedah pagi-pagian hari ini pun rasa lain, mata tak kering. Badan tak makan apa-apa sejak pagi tetapi hingga tengah hari pun tak rasa apa. Entah dari mana datang kekuatannya," katanya.
Menurut beliau, arwah sebelum ini turut mendermakan organ dan tisu termasuk buah pinggang, paru-paru, hati serta kornea mata yang sudah membantu ramai penerima.
"Tulang-tulang ini pun, berpuluh orang yang akan dapat hidup lebih baik kerana jasa baik arwah.
"Insaf saya. Sebak tak terkata," katanya.
Dr Syahr turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham, termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya, yang membenarkan serta meredai pendermaan berkenaan.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai insan mulia kerana masih meneruskan peranan membantu orang lain meskipun sudah meninggal dunia.
Dr Syahr berharap Allahyarham mendapat ganjaran syurga atas pengorbanan yang dilakukan, selain mendoakan semua pihak yang terlibat dalam urusan pendermaan itu turut mendapat rahmat ALLAH SWT.