KOTA BHARU - Kehadiran siput kemudi di beberapa pantai di sini ketika Monsun Timur Laut (MTL) dalam pemantauan Jabatan Perikanan Kelantan susulan kebimbangan kemungkinan pencemaran susulan hakisan di kawasan bekas tapak pelupusan sisa pepejal berhampiran.
Pengarahnya, Ismail Ibrahim berkata, persampelan siput kemudi akan dilakukan bagi mengesan kemungkinan kehadiran logam berat, bahan pencemar kimia dan mikroorganisma berbahaya yang boleh mengancam hidupan akuatik serta keselamatan pengguna.
Menurut beliau, sampel berkenaan akan dihantar ke Pusat Biosekuriti Perikanan Pahang di Kuantan untuk menjalani analisis lanjut.
"Jabatan mengambil serius perkara ini dan akan melaksanakan pemantauan serta persampelan di kawasan terlibat bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat mengenai keadaan hidupan akuatik.
"Sebarang penilaian berkaitan tahap keselamatan hidupan akuatik perlu dibuat berdasarkan hasil analisis saintifik dan bukan andaian semata-mata," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Terdahulu, Kerajaan Kelantan mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan menjalankan kajian serta penelitian segera bagi mengenal pasti langkah bersesuaian untuk menangani masalah hakisan yang melanda kawasan bekas tapak pelupusan sisa pepejal Teluk Kitang, Tok Lukut di Pantai Dasar di sini.
Menurut beliau, pemantauan akan dipergiat di sekitar Teluk Kitang, Tok Lukut dan Pantai Dasar bagi menilai kemungkinan kesan hakisan di kawasan bekas tapak pelupusan sisa pepejal terhadap persekitaran perairan serta sumber perikanan berhampiran.
Ujarnya, keputusan analisis makmal dijangka diperoleh dalam tempoh 14 hari bekerja dan akan menjadi asas kepada jabatan untuk menentukan status keselamatan hidupan akuatik di kawasan terbabit.
"Keputusan analisis makmal amat penting untuk membantu kami menentukan tindakan susulan yang bersesuaian berdasarkan penemuan saintifik.
"Jabatan akan meneliti keputusan sebaik sahaja diterima dan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya turut mengambil maklum fenomena kehadiran siput kemudi di sekitar pantai-pantai di sini ketika MTL yang memerlukan penelitian lanjut bagi mengenal pasti faktor mempengaruhi kemunculan spesies berkenaan.
Ismail berkata, pemantauan lapangan secara berterusan akan dilakukan termasuk pemerhatian terhadap keadaan persekitaran perairan dan kehadiran siput kemudi di lokasi dikenal pasti.
"Sebagai langkah jangka panjang, jabatan turut merancang memperluas pemantauan kerang-kerangan termasuk siput kemudi menerusi program National Shellfish Sanitation Program (NSSP) bagi memperkukuh penilaian kualiti serta keselamatan sumber makanan dari perairan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi serta pihak berkepentingan bagi menyelaras perkongsian maklumat, pemantauan dan penilaian risiko terhadap ekosistem perairan serta kesihatan awam.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai status keselamatan hidupan akuatik sebelum keputusan analisis diperoleh.