Pemuda hidap sindrom tangisan kucing

Iklan
Wan Noor Maziah mengelap mulut Hafizul Rahman. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK - Tangisan anak lelakinya yang menyerupai bunyi kucing sering mengundang pertanyaan orang sekeliling.

Bagi Wan Noor Maziah Wan Abdullah, 49, pula, tangisan itu menimbulkan kebimbangan kerana dia tidak tahu sama ada anaknya sedang lapar, sakit atau tidak selesa.

Iklan
Iklan

Hafizul Rahman Mazlan, 21, menghidap sindrom Cri-du-chat sejak lahir yang menyebabkan dia tidak mampu bercakap untuk menyampaikan apa-apa yang dirasainya.

Sindrom berkenaan berpunca daripada kehilangan sebahagian bahan genetik pada kromosom kelima dan dikaitkan dengan tangisan bernada tinggi seperti anak kucing khususnya ketika bayi.

Iklan

Wan Noor Maziah (kiri) menunjukkan tulang belakang Hafizul Rahman bengkok. Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Wan Noor Maziah, tangisan itu semakin kurang apabila Hafizul Rahman meningkat dewasa.

Iklan

Berdasarkan pengesahan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Hafizul Rahman turut mengalami kelewatan perkembangan global sejak lahir yang menyebabkan fizikal dan mental tidak normal.

“Kalau dia menangis, memang bunyi macam kucing dan saya tak tahu dia nak apa.

Menurut Wan Noor Maziah, doktor pernah memaklumkan sindrom berkenaan merupakan penyakit genetik jarang berlaku yang dianggarkan dialami seorang daripada 15,000 orang.

Lebih mencabar, dia juga menjaga anak perempuannya, Nur Qaseh Ummairah Mazlan, 13, yang mengalami kelainan kromosom kompleks dan tidak boleh berjalan atau bercakap.

Wan Noor Maziah berkata, rutin hariannya bermula seawal jam 4 pagi dengan menyediakan bubur, menyuapkan makanan, memandikan serta menukar lampin kedua-dua anaknya.

“Kalau mandi kena dukung dan kalau Hafizul Rahman buang air besar, kena ikat tangan. Kalau tidak, najis dibawa masuk ke mulut.

“Adiknya pula sehari tujuh kali tukar lampin, tak boleh bercakap, hanya menjerit sahaj dan bergerak mengesot,” katanya.

Hafizul Rahman turut mengalami masalah pinggul tercabut yang dikesan ketika berusia kira-kira dua tahun setengah dan menyebabkannya terlantar.

Doktor pernah mencadangkan pembedahan namun dia diberitahu sehingga tiga kali pun belum tentu berjaya menyebabkan dia belum bersedia meneruskannya.

Hafizul Rahman yang hanya mampu terlantar dijaga Wan Noor Maziah (kiri) dan Mazlan (kanan). Foto SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Dalam masa sama, Wan Noor Maziah sendiri berdepan masalah jantung yang dikesan kira-kira dua tahun setengah lalu dan memerlukan pembedahan dengan kos RM80,000.

“Saya pun ada slip disc dan masalah jantung saya ni pun belum sedia nak dibedah sebab fikirkan dua anak istimewa saya ni.

“Risiko pembedahan tinggi, saya takut, terfikir kalau saya mati, siapa nak jaga anak-anak saya ni,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu juga mengakui sering berdoa agar ALLAH mengambil nyawa kedua-dua anaknya terlebih dahulu kerana percaya hanya dirinya mampu menjaga mereka.

“Setiap kali lepas sembahyang, saya berdoa biarlah ALLAH ambil anak-anak ini dahulu sebelum saya.

“Sebab saya tahu hanya seorang ibu yang mampu dan sanggup jaga anaknya walau macam mana keadaan sekali pun,” katanya.

Wan Noor Maziah turut menyimpan hasrat menunaikan umrah, namun belum dapat berbuat demikian kerana tiada individu yang boleh diharapkan untuk menjaga kedua-dua anaknya.

Kedua-dua anaknya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 seorang selain bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Suaminya, Mazlan Ab Rahaman, 60, bekerja di tempat penyembelihan ayam dengan upah RM40 sehari.

“Belanja memang tak cukup, kos lampin pakai buang kedua-dua anak mencecah kira-kira RM1,000 sebulan selain kos makanan dan belanja ke hospital,” katanya.

Mohammad Hamizan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Wan Noor Maziah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (ISejahtera), Datuk Mohammad Hamizan Amzah yang melawat keluarga itu berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan khas kepada dua beradik itu serta menyediakan lampin pakai buang setiap bulan.

“Anak-anak ini akan menjadi anak angkat pertubuhan kami dan keperluan mereka akan dilihat dari masa ke masa.

“Ketika ini jumlah keseluruhan anak angkat di bawah seliaan kami seramai 216 orang terdiri daripada OKU, sakit kronik dan asnaf,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Mazlan Ab Rahman, nombor akaun 0300341000134905.