PKR sebagai jambatan Melayu, Amanah sebagai titian Islam: Masih relevankah formula PH?

Iklan
Mohd Suffian.

PEMBENTUKAN Pakatan Harapan (PH) pada 2015 membawa satu formula politik yang ketika itu mempunyai rasional tersendiri. Selepas berakhirnya Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Naaional (Amanah) bergabung dengan peranan yang berbeza tetapi saling melengkapi.

PKR tampil sebagai parti berbilang kaum dengan kepimpinan Melayu yang berupaya menjadi jambatan antara PH dengan pengundi Melayu dan masyarakat majmuk.

Iklan
Iklan

Amanah pula, yang lahir daripada perpecahan dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), membawa pendekatan politik Islam yang lebih progresif dan inklusif, manakala DAP mempunyai pangkalan sokongan kukuh dalam kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina dan kawasan bandar.

Pembahagian peranan ini menjadikan formula PH relevan pada awal pembentukannya kerana setiap parti mengisi ruang politik yang tidak sepenuhnya dikuasai parti lain.

Iklan

Namun selepas lebih sedekad, melalui PRU14, PRU15 dan beberapa pilihan raya negeri, wajar ditanya: adakah formula yang dibentuk untuk realiti politik 2015 masih berfungsi dalam pola sokongan pengundi hari ini?

Kekuatan sesebuah gabungan bukan sekadar ditentukan oleh jumlah parti di dalamnya, tetapi oleh kemampuan setiap komponen melaksanakan fungsi politik yang menjadi asas pembentukannya.

Iklan

PKR: Jambatan Melayu yang semakin rapuh?

PKR lahir daripada gelombang Reformasi 1998 dengan membawa isu keadilan, integriti, penentangan terhadap penyalahgunaan kuasa dan pembelaan rakyat.

Kekuatan asalnya ialah sifat berbilang kaum dengan kepimpinan Melayu yang dominan, sekali gus membolehkannya menjadi penghubung antara pengundi Melayu dengan masyarakat bukan Melayu.

Kemenangan PH pada PRU14 membuktikan formula ini pernah berfungsi, tetapi konteksnya penting. Ketika itu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih berada dalam PH dan perpecahan undi Melayu turut membuka laluan kepada kemenangan.

Maka kejayaan 2018 tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa PKR secara bersendirian telah menguasai sokongan Melayu.

Pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, tetapi cabaran penerimaan Melayu kekal. Analisis Institute of Southeast Asian Studies, Singapore

(ISEAS) terhadap PRN Negeri Sembilan 2026 menganggarkan sokongan Melayu kepada PH menurun daripada sekitar 31 peratus pada PRU14 kepada 19 peratus pada PRU15, meningkat kepada sekitar 43 peratus ketika PH bekerjasama dengan BN pada PRN 2023, sebelum merosot kepada sekitar 8 hingga 10 peratus pada 2026.

Keputusan Melaka menguatkan persoalan ini apabila PKR gagal memenangi kesemua 10 kerusi yang ditandinginya. Ini tidak bermaksud PKR kehilangan seluruh sokongan Melayu, tetapi menunjukkan peranannya sebagai jambatan antara PH dengan pengundi Melayu semakin dipersoalkan.

Prestasi kerajaan, kadar pelaksanaan reformasi, konflik dalaman, kekuatan jentera dan isu kehidupan rakyat turut mempengaruhi keyakinan pengundi.

Amanah: Titian Islam yang belum kukuh

Jika PKR diharapkan menjadi jambatan Melayu, Amanah memikul tugas yang lebih khusus bagi membuktikan bahawa politik Islam boleh bergerak dalam kerangka reformasi, keadilan sosial dan masyarakat majmuk.

Dari sudut gagasan, ruang itu memang wujud. Amanah menekankan rahmah, kesederhanaan, ketelusan, tadbir urus dan keadilan. Namun cabarannya ialah menterjemahkan gagasan tersebut menjadi sokongan politik yang tersendiri.

Dalam persaingan dengan PAS, Amanah berhadapan jurang organisasi yang besar. PAS mempunyai sejarah panjang, jaringan akar umbi, institusi pendidikan, kegiatan kebajikan dan pengaruh dakwah yang dibina selama beberapa dekad.

Amanah pula masih perlu membuktikan bahawa identiti politik Islamnya mempunyai akar sosial dan organisasi yang mampu berdiri dengan kekuatan sendiri, bukan sekadar bergantung kepada ekosistem PH.

Kekalahan Adly Zahari di Bukit Katil dalam PRN ke-16 Melaka menjadi simbolik. Bekas Ketua Menteri dan pemimpin kanan Amanah itu tewas kepada calon PAS-PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, dengan majoriti 6,607 undi.

Kekalahan itu bukan bukti penolakan menyeluruh terhadap pendekatan Islam Amanah, tetapi menegaskan bahawa rekod jawatan dan pengalaman pentadbiran sahaja tidak menjamin mandat.

Amanah perlu menjawab persoalan asas: apakah tawaran politik Islam yang benar-benar membezakannya sehingga pengundi Melayu melihat parti itu sebagai pilihan yang mempunyai identiti dan keyakinan tersendiri?

Ketidakseimbangan dalam perkongsian PH

Di sinilah masalah PH menjadi lebih struktural. PKR sepatutnya menghubungkan PH dengan pengundi Melayu dan masyarakat majmuk; Amanah membawa legitimasi politik Islam; manakala DAP mengukuhkan sokongan bukan Melayu serta kawasan bandar. Jika dua fungsi pertama semakin lemah, keseimbangan dalaman PH turut terjejas.

Keputusan Melaka memperlihatkan keadaan itu dengan jelas. PH hanya memenangi empat daripada 28 kerusi dan kesemuanya dimenangi DAP. PKR gagal di 10 kerusi, manakala Amanah gagal di tujuh kerusi. Ini bukan bermaksud DAP “terlalu kuat”. Sebaliknya, ia menunjukkan PH semakin bergantung kepada kawasan yang DAP masih mempunyai pangkalan sokongan kukuh.

Persoalan pentingnya ialah sama ada PKR dan Amanah masih mampu membawa masuk sokongan Melayu yang diperlukan untuk menjadikan PH benar-benar merentas kaum. Jika tidak, DAP mungkin terus mempertahankan kubu tertentu, tetapi PH akan kekal berdepan kesukaran di kerusi Melayu dan campuran.

Dua naratif menuju PRU16

Politik semasa semakin memperlihatkan persaingan antara dua naratif besar. Di satu pihak ialah naratif Melayu-Islam yang semakin tersusun melalui kerjasama PAS dan BN. Di pihak lain ialah naratif masyarakat majmuk, reformasi dan keadilan sosial yang menjadi asas PH.

Cabaran PH bukan sekadar mencari calon atau slogan baharu. PKR perlu membuktikan bahawa reformasi, keadilan sosial dan tadbir urus yang dibawanya memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat.

Amanah pula perlu menunjukkan bahawa identiti Islamnya mempunyai daya tarikan sosial, organisasi dan kepimpinan yang tersendiri. DAP pula perlu memahami bahawa kekuatan PH tidak boleh diukur melalui kemenangan DAP semata-mata.

Formula lama, ujian baharu

PKR masih relevan sebagai jambatan Melayu dan Amanah masih mempunyai ruang sebagai titian Islam. Namun kedua-dua fungsi itu tidak lagi boleh dianggap automatik.

Paradoksnya jelas. PKR ditubuhkan untuk melampaui politik perkauman, manakala Amanah membawa gagasan Islam yang inklusif. Kedua-duanya sepatutnya menjadi kekuatan penyatu PH. Tetapi apabila mereka gagal memperoleh mandat yang meyakinkan, persoalan sebenar bukan semata-mata sama ada gagasan asal itu salah, tetapi sama ada kepimpinan, organisasi, pelaksanaan dasar dan cara gagasan itu diterjemahkan kepada kehidupan rakyat masih berkesan.

Sebelum PRU16, PH perlu menjawab satu soalan asas: adakah PKR dan Amanah masih mempunyai kekuatan sebenar untuk melaksanakan peranan yang selama ini menjadi asas formula PH?

Jika jawapannya semakin kabur, formula yang pernah membantu membawa kemenangan pada 2018 mungkin masih relevan sebagai konsep namun tidak lagi memadai sebagai strategi pilihan raya.

*** Ts Dr Mohd Suffian Haji Yusoff ialah felo Yayasan Kedah Sejahtera (YKS)