PADA 25 Oktober 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan jabatan kerajaan supaya memulangkan surat yang dihantar kepada mereka dalam bahasa selain bahasa Melayu, termasuk surat daripada syarikat dan universiti tempatan.
Tiga tahun kemudian, pengumuman kerajaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menimbulkan persoalan tentang ketegasan pendirian itu.
Jika surat orang ramai boleh dipulangkan kerana menggunakan bahasa selain bahasa Melayu, siapakah pula yang akan menegur seorang menteri apabila timbul persoalan sama dalam ucapan dan pengumuman kerajaan?
Pada 14 November 2026, Hannah Yeoh hadir ke majlis makan malam ulang tahun ke-103 KLSCAH sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Beliau menyampaikan ucapan sebelum mengumumkan kelulusan pembaharuan pajakan selama 99 tahun dengan premium RM1,000, berbanding anggaran awal RM4.67 juta, selain menyerahkan dokumen hak milik tanah.
Menurut Jabatan Wilayah Persekutuan, jumlah bayaran yang dinyatakan dalam notis tanah ialah RM5,011, termasuk premium, sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.
Bagaimanapun, ucapan dan pengumuman Hannah disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Berdasarkan rakaman majlis yang ditonton, bahasa Cina dan bahasa Inggeris digunakan sepanjang majlis berkenaan. Bahasa Melayu tidak kedengaran, termasuk ketika seorang menteri mengumumkan keputusan kerajaan.
Pada latar pentas pula, tulisan Cina dipaparkan lebih besar dan diletakkan di atas tulisan bahasa Melayu. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang keutamaan yang diberikan kepada bahasa kebangsaan.
Malah, hantaran Facebook yang memuatkan kenyataan rasmi Hannah berhubung pengumuman itu turut disiarkan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin sahaja.
Apabila bahasa lain diberikan keutamaan sedangkan bahasa kebangsaan tidak digunakan ketika keputusan kerajaan diumumkan, bagaimana kedudukan bahasa Melayu hendak dipertahankan sebagai bahasa utama negara?
Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong turut membangkitkan persoalan berhubung perkara ini dan menegaskan kepentingan mengutamakan bahasa Melayu dalam pengumuman berkenaan.
Hannah sudah menjelaskan bahawa penetapan kadar premium mengambil kira perubahan status tanah kepada kegunaan institusi.
Namun, penjelasan itu masih belum meredakan persoalan yang dibangkitkan, khususnya berkaitan ketelusan dan kewajaran keputusan berkenaan.
Persoalan mengenai bahasa yang digunakan dalam ucapan dan pengumuman itu juga wajar diberikan penjelasan oleh Menteri.
Bahasa salam pengumuman kerajaan
KLSCAH menganjurkan sambutan ulang tahunnya dengan kehadiran Konsul Jeneral China di Malaysia. Penganjur mempunyai kebebasan menentukan bahasa yang digunakan dalam majlis pertubuhan mereka.
Namun, apabila seorang menteri menyampaikan ucapan dan mengumumkan keputusan bagi pihak kerajaan, beliau turut memikul tanggungjawab memastikan bahasa yang digunakan mencerminkan kedudukan bahasa kebangsaan.
Sekurang-kurangnya, maklumat utama seperti tempoh pajakan, kadar premium dan syarat berkaitan perlu disampaikan dalam bahasa Melayu. Terjemahan boleh disediakan untuk tetamu asing yang memerlukannya.
Orang ramai, sama ada di dalam mahupun di luar dewan, berhak mendapat maklumat mengenai keputusan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan penggunaan bahasa kebangsaan bagi maksud rasmi, tertakluk kepada peruntukan Akta dan perlindungan Perlembagaan.
Seksyen 3 pula membenarkan terjemahan dokumen atau perutusan rasmi disediakan demi kepentingan awam. Ceraian PO.1.1.1 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menetapkan penggunaan bahasa Melayu dalam acara utama anjuran kerajaan, dengan terjemahan disediakan mengikut keperluan.
Justeru, Kabinet wajar memperjelas protokol penggunaan bahasa bagi pengumuman kerajaan yang disampaikan oleh menteri dalam majlis anjuran pihak luar.
Ketegasan yang sama untuk Kabinet
Pada 29 Ogos 2026, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa bahasa Inggeris boleh melengkapi bahasa Melayu.
Jika bahasa Inggeris berperanan sebagai bahasa pelengkap, mengapa bahasa itu pula digunakan untuk mengumumkan keputusan kerajaan di Kuala Lumpur?
Perdana Menteri wajar menjelaskan bagaimana pendirian yang disampaikan kepada rakyat itu diterjemahkan dalam amalan oleh menteri-menteri dalam Kabinetnya sendiri.
Pada April 2024, kementerian dan agensi kerajaan telah diingatkan supaya menggunakan bahasa Melayu dalam majlis rasmi kerajaan. Surat edaran JPA bertarikh 29 Oktober 2025 turut menegaskan semula ketetapan itu bagi urusan yang dianjurkan atau dikendalikan kerajaan.
Antara teguran awal berhubung penggunaan bahasa dalam pengumuman di KLSCAH datang daripada Prof Teo, ahli akademik berketurunan Cina Peranakan Kelantan. Teguran beliau dilaporkan pada 16 November.
Persoalannya, di manakah suara tokoh-tokoh yang selama ini lantang memperjuangkan bahasa Melayu? Kedudukan bahasa kebangsaan sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama, bukan hanya diperjuangkan oleh kelompok tertentu.
Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Institusi itu telah menjalankan Audit Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Dalam isu ini, DBP wajar menyatakan pendiriannya secara terbuka.
Apakah piawaian penggunaan bahasa bagi seseorang menteri yang mengumumkan keputusan kerajaan dalam majlis anjuran pihak luar? Bagaimanakah pematuhan terhadap ketetapan itu dipantau?
Perdana Menteri sebelum ini menunjukkan ketegasan dengan mengeluarkan arahan berkaitan penggunaan bahasa dalam surat yang diterima oleh jabatan kerajaan. Kini, ketegasan yang sama perlu diterjemahkan dalam pentadbirannya sendiri.
Memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya terhenti pada simbol dan penampilan semata-mata. Jika bahasa kebangsaan sendiri tidak diberikan keutamaan ketika keputusan kerajaan disampaikan kepada rakyat, sejauh manakah komitmen untuk mengangkat martabatnya benar-benar dilaksanakan?
Jemaah Menteri perlu mempertimbangkan ketetapan bahawa setiap pengumuman rasmi kerajaan yang disampaikan oleh menteri dalam negara hendaklah menggunakan bahasa Melayu, termasuk dalam majlis anjuran pihak luar.
Keputusan, jumlah bayaran dan syarat utama perlu dinyatakan dalam bahasa Melayu. Ketua Setiausaha Negara pula boleh menyelaras semakan bersama DBP dan membentangkan dapatan kepada Kabinet.
Sekiranya semakan mendapati ketetapan itu tidak dipatuhi, menteri berkenaan wajar diminta memberikan penjelasan bertulis serta memastikan pengumuman tersebut diterbitkan semula dalam bahasa Melayu.
Ketidakpatuhan berulang tanpa alasan yang munasabah juga wajar ditangani melalui mekanisme teguran rasmi Perdana Menteri yang bersesuaian untuk anggota Kabinet.
Hannah wajar memberikan penjelasan lanjut mengenai bahasa yang digunakan ketika pengumuman di KLSCAH. Perdana Menteri pula perlu menjelaskan pendirian kerajaan dengan menetapkan piawaian yang akan dikuatkuasakan terhadap seluruh Jemaah Menteri.
Arahan kepada syarikat dan institusi tempatan mengenai penggunaan bahasa Melayu sudah cukup jelas.
Namun, apakah maknanya segala usaha memartabatkan bahasa kebangsaan jika amalan dalam Kabinet sendiri tidak mencerminkan ketegasan yang sama?
*** Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari (YSL) dan pemerhati politik semasa.