DEMI kepentingan politik, boleh pula perbualan yang bersifat peribadi dan sulit (private and confidential) dengan Yang di-Pertuan Agong didedahkan untuk menggambarkan seolah-olah pihak yang bersalah ialah Seri Paduka Baginda, bukannya individu yang mendedahkan perbualan tersebut.
Bukankah tindakan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap institusi diraja (create disaffection against the King)?
Kuasa pengampunan merupakan budi bicara Seri Paduka Baginda. Setuju atau tidak, penjawat awam, termasuk menteri, mesti akur dengan pelaksanaan kuasa yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai penjawat awam, mereka bukan sahaja perlu mematuhi keputusan yang dibuat, malah perlu mempertahankannya. Jika benar-benar tidak bersetuju, letak jawatan. Jika tidak meletakkan jawatan, mereka perlu mempertahankan keputusan tersebut. Inilah tanggungjawab kolektif kerajaan.
Amat penting bagi keamanan dan kestabilan negara supaya pelaksanaan kuasa budi bicara Agong dihormati sepenuhnya, khususnya oleh pihak eksekutif.
Bayangkan dalam keadaan pilihan raya yang sengit, selepas mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat, Seri Paduka Baginda melaksanakan budi bicara baginda untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti.
Pelantikan itu mesti dihormati. Tidak kira sama ada kita suka atau tidak, semua pihak perlu menerima keputusan tersebut. Jika tidak, negara boleh terjerumus dalam keadaan kucar-kacir.
Tidak boleh sesuka hati, atas kepentingan politik, perbincangan tertutup dengan Agong didedahkan untuk memburukkan Agong. Tindakan seperti ini tidak wajar dan boleh menimbulkan implikasi serius.
Jika ada pihak yang tidak bersetuju dengan pelantikan Perdana Menteri, saluran yang betul bukanlah dengan membantah atau memalukan Seri Paduka Baginda. Kita perlu menghormati pelantikan tersebut. Sebaliknya, jika tidak bersetuju bahawa Perdana Menteri berkenaan mendapat sokongan majoriti, bawalah usul undi tidak percaya ke Parlimen.
Itulah tindakan melalui saluran yang sah dan dibenarkan.
Dalam isu pengampunan yang menjadi perhatian ketika ini, mana-mana menteri atau penjawat awam yang tidak bersetuju dengan keputusan Agong perlu mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan.
Seri Paduka Baginda merupakan ketua negara dan mempunyai kedudukan serta kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Pihak eksekutif pula menjalankan tanggungjawab pemerintahan mengikut kerangka perlembagaan.
Pelaksanaan budi bicara Agong mesti dihormati. Tidak boleh setiap kali tidak bersetuju, perbincangan tertutup dengan Agong didedahkan, lebih-lebih lagi tanpa persetujuan Baginda.
Tindakan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap Seri Paduka Baginda berhubung pelaksanaan kuasa budi bicara yang sah. Ini bukan perkara kecil dan tidak boleh dipandang ringan.
Tony Pua sekali lagi tersilap
Beliau seolah-olah tidak memahami bahawa kuasa pengampunan merupakan budi bicara Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan, bukannya sekadar pendirian atau kedudukan (position) yang diambil oleh kerajaan.
Beliau perlu memahami bahawa ini adalah perkara berkaitan perlembagaan dan undang-undang yang wajib dipatuhi oleh kerajaan.
Justeru, tidak timbul isu kononnya position of government berbeza dengan kedudukan Seri Paduka Baginda. Kedudukan Agong dalam perkara yang melibatkan pelaksanaan kuasa perlembagaan baginda tidak boleh dipisahkan begitu sahaja daripada tanggungjawab kerajaan untuk menghormati keputusan tersebut.
Ini soal kedaulatan undang-undang (rule of law). Tiada dua tafsiran dalam hal ini.
Tony Pua seolah-olah tidak memahami konsep perlembagaan berkaitan kedudukan Seri Paduka Baginda dan peranan Kabinet serta pihak eksekutif dalam sistem pemerintahan negara.
Keputusan Agong bukan sahaja perlu dihormati, malah penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing selaras dengan keputusan yang dibuat. Sebagai penjawat awam, kita boleh memberikan pandangan dalam sesuatu perbincangan. Namun, apabila keputusan telah dibuat, kita perlu akur.
Bukannya mendedahkan perbincangan tertutup untuk memalukan Seri Paduka Baginda sehingga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap YDPA.
Siasatan perlu dilakukan
Adakah benar maklumat berkenaan telah dinyahklasifikasikan (declassified)? Siapa yang meluluskan penyahklasifikasian itu? Adakah perkenan Seri Paduka Baginda diperoleh terlebih dahulu?
Jika terdapat pihak yang cuba menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap Agong berhubung pelaksanaan kuasa budi bicara Baginda yang sah, perkara itu perlu disiasat dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat kesalahan.
Setiap ahli Parlimen mesti menghadiri kelas Perlembagaan.
Sekali lagi, Tony Pua mencetuskan kontroversi berkaitan peranan Istana. Saya berpendapat semua wakil rakyat sepatutnya diwajibkan mengikuti kursus pemahaman Perlembagaan Persekutuan sebelum memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Bahaya jika mereka yang diberi amanah untuk menggubal undang-undang dan menentukan hala tuju negara sendiri tidak memahami asas perlembagaan.
Ada lima perkara asas berkaitan perlembagaan dan undang-undang yang perlu difahami:
1. Kedudukan Agong sebagai Ketua Utama Negara dan peranan baginda dalam sistem pemerintahan negara.
2. Kuasa pengampunan merupakan budi bicara Seri Paduka Baginda sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
3. Keputusan YDPA berhubung pengampunan perlu dihormati mengikut kerangka perlembagaan.
4. Kerajaan mempunyai tanggungjawab kolektif untuk menghormati dan mematuhi keputusan yang dibuat mengikut peruntukan perlembagaan.
5. Tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap Agong, khususnya berkaitan pelaksanaan kuasa perlembagaan baginda, perlu diteliti dari sudut implikasi undang-undang.
Premis hantaran Tony Pua yang cuba menggambarkan keputusan kerajaan dan Seri Paduka Baginda sebagai dua perkara berbeza adalah berbahaya dan tidak wajar.
Dalam sesuatu mesyuarat, semua pihak boleh memberikan pandangan masing-masing. Namun, selepas keputusan dibuat, setiap anggota kerajaan terikat dengan tanggungjawab kolektif masing-masing.
Dalam hal pengampunan, kuasa budi bicara YDPA yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati. Tiada sesiapa boleh bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mengatasi peruntukan tersebut.
Jangan jadikan institusi diraja sebagai taruhan politik. Perlembagaan bukan untuk ditafsir mengikut kepentingan sendiri.
*Datuk Lukman Sheriff Alias ialah seorang peguam dan Rakan Kongsi Pengurusan di Zul Rafique & Partners.