KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia diminta menyiasat kemungkinan penyalahgunaan pas pelajar oleh warga asing yang didakwa menggunakan kemudahan itu untuk memasuki negara ini tetapi tidak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius susulan kes seorang pelajar warga asing yang didakwa menetak anggota polis sehingga putus pergelangan tangan.
Menurutnya, berdasarkan rekod yang dirujuk, individu terbabit mula memegang pas pelajar pada 2015 sebelum permohonannya tergantung pada 2017 kerana menunggu dokumen berkaitan.
Beliau berkata, pas pelajar individu itu hanya digunakan sehingga 2018 sebelum tamat tempoh, manakala pasportnya juga dilaporkan telah luput.
"Ini hanya satu kes. Saya mohon pihak Imigresen, pihak kerajaan melihat. Kita dengar cerita ini banyak.
"Di IPT-IPT, ramai yang menggunakan, menyalahgunakan pas pelajar ini untuk masuk ke Malaysia tetapi sebenarnya bukan datang belajar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Pada minggu lalu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus dalam kejadian di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri, Kepong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.
Polis turut memaklumkan suspek yang maut ditembak itu, didapati memiliki pasport tamat tempoh selepas siasatan terhadap latar belakang serta status dokumentasi lelaki terbabit dijalankan.
Siasatan awal turut mendapati lelaki itu memasuki Malaysia menggunakan pas pelajar, namun dipercayai telah tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan selepas pas pelajar dan passportnya sudah tamat tempoh.
Dalam pada itu, Mohd Radzi memaklumkan, beliau sebelum ini tidak membangkitkan perkara itu kerana belum mempunyai maklumat berhubung kes yang jelas untuk dijadikan asas.
Bagaimanapun, insiden serangan terhadap anggota polis berkenaan mendorong beliau meminta pihak berkuasa meneliti semula mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pelajar antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan mengemukakan soalan di Parlimen bagi mendapatkan data berkaitan warga asing yang tinggal lebih masa selepas pas pelajar tamat tempoh.
"Saya mohon supaya dilihat perkara ini. Dan insya-ALLAH saya akan hantar soalan berkaitan perkara ini ke Parlimen untuk mendapat data-data yang berkaitan.
"Tentunya lebih ramai antara mereka yang tinggal lebih masa, pas dah luput tetapi masih berada dalam negara ini," katanya.