Warga Singapura bawa 19kg dadah di LTSAS berdepan hukuman mati

Iklan
Chen Long dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis. - FOTO: Bernama

IPOH - Lelaki warga Singapura yang ditahan kerana memiliki 19 kilogram (kg) dadah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) baru-baru ini, berdepan hukuman mati apabila didakwa mengedar dadah jenis kanabis di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis. 

Chen Long, 26, faham pertuduhan setelah ia dibacakan dalam bahasa Mandarin namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 19,040 gram di mesin bagasi A, kaunter daftar masuk LTSAS jam 6.20 pagi pada 8 November lepas.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Iklan

Majistret Norizan Riduan menetapkan 26 Februari tahun depan bagi serahan laporan kimia dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainin Sofiya Azlaini manakala Chen diwakili peguam Sivananthan Ragava. - Bernama 

Iklan