Pelajar Tingkatan Tiga trauma, cedera di rahang dan kepala dibelasah rakan sekelas

Iklan
Kecederaan yang dialami mangsa.

TANGKAK – Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini cedera pada bahagian rahang dan belakang kepala selepas dipercayai dibelasah tiga rakan sekelas dalam kejadian Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 15 tahun itu bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal, malah turut trauma sehingga dikatakan takut untuk kembali ke sekolah selepas kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut ahli keluarga ketika dihubungi berkata, pihak mereka menerima panggilan daripada pihak sekolah kira-kira jam 10.25 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan anaknya mengalami sakit perut ketika berada di sekolah.

"Dia (mangsa) cakap dia takut nak beritahu cikgu yang dia kena pukul, dia minta kerani menghubungi keluarga untuk datang ke sekolah.

Iklan

"Selepas kami ke sekolah, dia beritahu dia kena pukul rakan sekelas, tiga orang budak lelaki serang dia, pukul bahagian muka, kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan dan menjalani pemeriksaan sinar-X di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar bagi memastikan tiada kecederaan serius atau tulang patah.

Iklan

Difahamkan, mangsa diberikan cuti sakit selama 15 hari oleh pihak hospital bermula 13 November hingga 27 November ini, selain masih mengalami trauma akibat kejadian tersebut.

Penjaga mangsa turut mendakwa pihak sekolah mengambil tindakan menggantung persekolahan remaja itu tanpa sebab sebelum keputusan berkenaan ditarik balik selepas rakaman kejadian dikemukakan.

Keluarga mangsa mendakwa tiada tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kumpulan pelajar yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli tersebut.

Keluarga mangsa kini mengambil tindakan lanjut dengan mengemukakan aduan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan insiden berkenaan mendapat perhatian pihak berwajib.