IPOH – Suspek lelaki bersenjata api yang maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan di sini awal pagi Khamis disahkan warga tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi ketika sepasukan polis daripada JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan rondaan pencegahan jenayah samun di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, pasukan polis bertindak menahan sebuah kenderaan yang dipandu suspek sebelum lelaki itu bertindak keluar dari kenderaan berkenaan untuk melarikan diri.
"Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sehingga memaksa anggota terlibat membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan menghapuskan ancaman keselamatan.
"Suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi.
"Sepucuk senjata api jenis pistol turut ditemukan berhampiran suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh meningkat sehingga 20 tahun sekiranya menyebabkan kecederaan kepada seseorang.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang.
Dalam pada itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.
Beliau berkata, satu sidang media akan diadakan di IPK Perak pada jam 3 petang Khamis bagi memberikan penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.